‘’PM minta bersabar…semuanya akan baik-baik saja’’ – Amir Raja Lawak | Madani News

‘’PM minta bersabar…semuanya akan baik-baik saja’’ – Amir Raja Lawak

‘’PM minta bersabar…semuanya akan baik-baik saja’’ – Amir Raja Lawak

  PELAWAK, Amir Raja Lawak teruja dan tidak menyangka hasrat untuk bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kenyataan di Kota Bharu.

 Dia menerima kunjungan Perdana menteri di kedai makan ayam goreng milikinya di Stadium Sultan Muhammad IV.

‘’PM kata saya perlu sabar, Insya-Allah semua akan baik-baik sahaja,” kata Amir kepada pemberita.

Katanya, dia tidak menyangka hasrat untuk bertemu Anwar yang dikongsikan di laman sosial, Facebook, semalam, mendapat perhatian seterusnya memberi peluang kepadanya bertemu mata dengan Perdana Menteri.

“Selain tanya berkaitan isu gaji, Perdana Menteri juga turut bertanya khabar keadaan ayah saya yang menjalani pembedahan kali kedua akibat kanser usus di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, hari ini.

“Kunjungan Perdana Menteri bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, hari ini, sejujurnya memberikan saya semangat untuk terus kuat menghadapi cabaran hidup. Malah, saya turut menerima sumbangan kewangan daripada kedua-dua pemimpin ini.

“Sumbangan yang diberikan akan saya gunakan sebaiknya terutama untuk membantu keluarga termasuk menyediakan keperluan termasuk ubat-ubatan untuk bapa saya yang sakit,” katanya.

Amir berkata, walaupun ada pihak mencadangkan beliau membuka tabung untuk membantunya namun beliau menolak cadangan itu.

‘’Saya masih kuat untuk bekerja, saya cuma mahu keadilan,’’ katanya.

Amir, 36, disaman melalui kenyataan rasmi Awesome Broadcasting Sdn. Bhd. (Awesome TV) yang memfailkan saman fitnah terhadapnya bersama dua pelawak lain.

Sebelum ini, Amir menuntut bayaran tunggakan berbaki RM18,000 bagi pembabitannya dalam sebuah program televisyen di stesen terbabit.

Seorang lagi pelawak, Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh) dan  Abu Musarrif Abu Bakar (Abu Mamu) turut mendakwa menghadapi masalah bayaran itu.