Qari dan Qariah Malaysia juara tilawah peringkat antarabangsa

QARI dan Qariah Malaysia muncul juara Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) yang berakhir malam tadi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Bagi kategori qari, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan muncul johan selepas meraih 97.01 peratus mengatasi peserta Indonesia Ahmad Azroi Hasibuan (95.13 peratus) di tempat kedua serta Qari Turkiye Muhammed Yahya Yildizhan (93.88 peratus) di tempat ketiga.

Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi pula mencatat markah sebanyak 95.88 peratus bagi membolehkan beliau menguasai kategori qariah mengatasi peserta Maghribi dan Indonesia.
Peserta Maghribi Fatima Zahra Assafar mendapat 89.38 peratus markah manakala wakil Indonesia Nur Rahmiyatin Adhya memperoleh 87.59 peratus.
Johan bagi kategori Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), hadiah iringan dan sijil penghargaan.
Kesemua pemenang menerima hadiah yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan majlis tersebut turut dihadiri Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Imam Masjid Nabawi, Madinah Sheikh Dr Salah Muhammad Al-Budair.
Bagi kategori hafazan lelaki, Usamah Barghouth dari Jerman muncul juara dengan markah 98.25 peratus diikuti Mohammad Abdullah Masasati dari Syria (98.01 peratus) dan tempat ketiga Mohammad Jamil Farhat dari India (97.25 peratus).
Peserta Syria Tasneem Arian Omar pula muncul johan bagi kategori hafazan wanita dengan markah 97.5 peratus diikuti Putri Auni Khadijah dari Malaysia di tempat kedua (96.75 peratus) dan ketiga ialah Najway Ali Zaydan Alkourbu dari Libya (95.51 peratus).
MTHQA Ke-65 yang bertemakan ‘Membangun Ummah MADANI’, bermula 2 Ogos lalu disertai 71 peserta dari 49 negara.