Serangan anak Rafizi: Polis siasat semua sudut termasuk motif politik | Madani News

Serangan anak Rafizi: Polis siasat semua sudut termasuk motif politik

Serangan anak Rafizi: Polis siasat semua sudut termasuk motif politik

“Setakat ini, kita meneliti semua aspek. Belum ada petunjuk jelas ke arah motif tertentu, tetapi siasatan merangkumi semua sudut” – Polis

POLIS mengesahkan sedang menyiasat serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan bermotifkan politik.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 352 dan 324 Kanun Keseksaan kerana menyerang dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, selain Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.

“Setakat ini, kita meneliti semua aspek. Belum ada petunjuk jelas ke arah motif tertentu, tetapi siasatan merangkumi semua sudut,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut beliau, siasatan di bawah akta kesalahan seksual dibuat kerana suspek melakukan sentuhan fizikal terhadap mangsa yang berusia 12 tahun.

Polis kini berusaha mengesan suspek, termasuk mendapatkan keputusan analisis kandungan picagari yang digunakan dalam serangan itu.

“Keadaan mangsa Alhamdulillah stabil dan sudah dibenarkan keluar hospital,” tambahnya.

Insiden berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari semalam di Putrajaya, apabila dua lelaki menaiki motosikal menghampiri mangsa yang ketika itu bersama ibunya keluar dari sebuah pusat beli-belah. Salah seorang suspek berpakaian serba hitam dan menutup muka dengan topi keledar penuh, menarik mangsa sebelum menyuntiknya.

Rafizi dalam kenyataannya mengecam serangan itu dan percaya ia bertujuan menakut-nakutkan atau menutup mulutnya daripada bersuara mengenai isu tertentu.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews