’Siapapun terlibat, tidak peduli siapa… tidak akan dilindungi’’ – Anwar ulas kes Zara Qairina | Madani News

’Siapapun terlibat, tidak peduli siapa… tidak akan dilindungi’’ – Anwar ulas kes Zara Qairina

’Siapapun terlibat, tidak peduli siapa… tidak akan dilindungi’’ – Anwar ulas kes Zara Qairina
Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai ketika majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). - GAMBAR Pejabat Perdana Menteri. NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This handout videos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the visual or facts mentioned in the caption. Reuse of the vi

‘”KITA harus ingat ini bukan negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun terlibat, tidak peduli siapa pun (berkaitan) Tan Sri, Datuk Seri, menteri, anak menteri, kalau terlibat dalam jenayah, pembunuhan atau bersengkongkol, tidak akan diberi perlindungan tetapi jangan memfitnah.’’

Demikian ditegaskan oleh Perdana Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan tiada perlindungan diberi kepada mana-mana pihak termasuk pelaku kes membabitkan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, yang dikatakan menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama di Sabah baru-baru ini.

 Anwar berkata, beliau mahu siasatan mendalam dilaksanakan oleh pihak berkuasa dengan kadar segera kerana kematian dengan cara itu bukan perkara yang dipandang ringan.

 ” Menteri Pendidikan ‘diserang’. Kematian ini bukan soal yang ringan. Anak petani miskin di Kundasang kalau mati, itu tanggungjawab kita bersama untuk cari (pembunuh) .. bukan tuduh sesiapa.

“Saya bicara terus dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail). Dia (Mohd Khalid) kata kita buat siasatan segera, kita cari segala fakta dan selesaikan. Dia kata sudah 60 orang (saksi) diambil keterangan,’’ katanya.

 Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap Majlis Penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Kota Kinabalu hari ini.

 Anwar berkata, pihaknya difahamkan laporan lengkap polis berhubung kes terbabit sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Saya tidak campur (dalam urusan kes Zara Qairina). Saya tanya (kepada pihak berkaitan) supaya rakyat tahu,” katanya sambil memohon maaf kerana bercakap isu tersebut di majlis berkenaan.

Zara Qairina yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dikatakan terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.

 SEMENTARA itu dalam perkembangan terkini kes tersebut, Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarham Zara Qairina,  hari ini membuat satu lagi laporan polis di Balai Polis Sipitang di Sabah, selepas teringat semula kesan lebam pada belakang badan Zara yang dilihatnya ketika memandikan jenazah di Hospital Queen Elizabeth I, di Kota Kinabalu, pada 17 Julai.

Memetika Berita Harian Peguam mewakili mereka, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri melalui kenyataan bersama hari ini, berkata Noraidah memaklumkan beliau sendiri melihat kesan lebam itu semasa memandikan jenazah anaknya itu bersama beberapa wanita lain.

“Anak guam kami tidak memasukkan fakta penting ini dalam laporan-laporan polisnya sebelum ini kerana dia terlupa sepenuhnya mengenainya.

“Beliau hanya teringat semula tentang kesan-kesan lebam ini apabila kami menyoal beliau tengah hari kelmarin, berkenaan keadaan tubuh anaknya semasa dimandikan olehnya,” katanya.

Peguam berkenaan juga menjelaskan Noraidah berada dalam keadaan terlalu sedih sejak 16 Julai, menyebabkan anak guamnya itu tidak teringat langsung tentang kewujudan kesan berkenaan.

“Anak guam kami percaya kesan lebam yang dilihatnya itu adalah kesan kecederaan yang diakibatkan oleh pukulan menggunakan objek tumpul ke bahagian belakang Zara Qairina, sebelum dia ditemui di bahagian bawah bangunan asrama sekolahnya pada subuh 16 Julai lalu,” katanya.

Dalam pada itu, peguam berkenaan berkata pihaknya turut mengambil maklum kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semalam bahawa siasatan polis ke atas kes berkenaan sudah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara minggu hadapan.

 Bagaimanapun, katanya perkembangan terbaru yang dibangkitkan melalui laporan polis terkini itu menjustifikasikan pembukaan semula siasatan kes.

“Kubur Zara Qairina perlu digali semula dengan kadar segera dan satu bedah siasat dibuat terhadap tubuhnya untuk menentukan punca sebenar kematian, sama ada wujud elemen-elemen jenayah yang menyebabkan kematian itu,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, peguam turut merujuk laporan polis dibuat Noraidah pada 30 Julai lalu berkaitan rakaman perbualan telefon antara beliau dan arwah.

“Dalam perbualan itu, Zara Qairina memaklumkan terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu dan/atau membulinya sehingga ada yang mengugutnya dengan berkata ‘kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni’.

“Maklumat ini mungkin mempunyai kaitan dengan maklumat terbaru yang disalurkan anak guam kami kepada polis pada pagi ini,” katanya.