Sindiket penyeludupan lumpuh, 5 pegawai kanan perisikan tentera peroleh rasuah lebih RM3 juta ditahan | Madani News

Sindiket penyeludupan lumpuh, 5 pegawai kanan perisikan tentera peroleh rasuah lebih RM3 juta ditahan

Sindiket penyeludupan lumpuh, 5 pegawai kanan perisikan tentera peroleh rasuah lebih RM3 juta ditahan

‘’Suspek-suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah kira-kira antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan yang dijalankan,” – Sumber.

 SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dipercayai telah memperoleh rasuah lebih RM3 juta.

Kegiatan di selatan tanah air itu dipatahkan melalui Ops Sohor oleh Bahagian Perisikan SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Memetik laporan FMT, enurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun telah ditangkap di sekitar Lembah Klang sejak operasi dilancarkan pada jam 6.30 pagi tadi.

“Pegawai-pegawai kanan itu adalah daripada bahagian perisikan ATM termasuk dua bekas anggota ATM daripada bahagian yang sama.

SPRM menyita wang tunai yang ditemui dalam serbuan melalui Ops Sohor oleh Bahagian Perisikan SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

“Mereka telah ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, namun mereka dipercayai telah bersekongkol dengan sindiket penyeludupan tersebut sejak lima tahun yang lalu dan disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta,” kata sumber.

Siasatan awal mendapati lima pegawai kanan yang menjadi suspek utama disyaki telah membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket.

Sindiket itu membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran ke Malaysia yang kesemuanya membabitkan jumlah nilai sebanyak kira-kira RM5 juta sebulan.

“Suspek-suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah kira-kira antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan yang dijalankan,” katanya.

Serbuan dilancarkan berpandukan maklumat hasil risikan kira-kira 12 bulan.

Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras, dan senjata tiruan turut ditemukan di premis-premis serbuan dan kesemuanya disita.

Menurut sumber, rangkaian penyeludupan membabitkan pegawai-pegawai kanan tentera ini adalah besar dan rumit untuk dibongkarkan.

Dalam pada itu, seorang wanita berwarganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah turut ditangkap semasa serbuan dijalankan dan dipercayai menjadi wanita simpanan kepada salah seorang pegawai kanan tentera terbabit.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi bin Yahaya mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat di bawah seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau menegaskan tindakan operasi ini wajar diambil serius oleh semua pihak kerana ianya melibatkan penyeludupan yang berupaya menjejaskan keselamatan negara.

“Walaupun kita mempunyai pelbagai agensi untuk memantau dan mengambil tindakan namun kegiatan penyeludupan tetap berlaku,” katanya.

Menurutnya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.