Tengku Zafrul ‘panaskan’ UMNO, ‘hangatkan’ politik dalaman PKR | Madani News

Tengku Zafrul ‘panaskan’ UMNO, ‘hangatkan’ politik dalaman PKR

Tengku Zafrul ‘panaskan’ UMNO, ‘hangatkan’ politik dalaman PKR

KENYATAAN Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengesahkan beliau telah diterima sebagai ahli PKR Cabang Ampang ternyata mencetuskan reaksi berbeza dalam parti itu dan UMNO.

Di pihak UMNO, pemimpin-pemimpin parti itu ternyata tidak berpuashati dengan tindakan PKR menerima Tengku Zafrul yang meletakkan jawatan dalam UMNO pada 30 Mei lalu menyertai PKR. Mereka ‘panas’ apabila PKR tidak menghiraukan  bantahan UMNO sebelum ini supaya tidak mengambil ahli dalam kalangan parti gabungan kerajaan menjadi ahli.

Hari ini, Ketua Pemuda UMNO , Dr. Akmal Saleh menyindir PKR dan  Tengku Zafrul dengan berkata, “Terima kasih PKR kerana memberi kami akar umbi UMNOo erti sebenar kerajaan perpaduan ini. Amaran dah diberi, tetapi tetap juga dilakukan. Good luck Tengku Zafrul – moga akar umbi PKR boleh menerima kamu. Kita jumpa nanti di pilihan raya,” tulis Akmal dalam hantaran di Facebook.

Wanita UMNO pula berkata, mereka menyokong penuh pendirian Presiden UMNO Dr.Ahmad Zahid Hamidi  sebelum ini yang menganggap tindakan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian Tengku Zafrul sebagai sesuatu yang tidak beretika.

Wanita UMNO Malaysia berpendapat bahawa perpaduan dan kesetiaan antara parti-parti dalam gabungan perlu dijunjung tinggi demi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan. 

Kata Ketua Penerangannya, Datuk Rosni Zahari tindakan tersebut bukan sahaja menimbulkan prasangka buruk dan prejudis dalam kalangan ahli akar umbi, malah turut menjejaskan imej kesungguhan serta keikhlasan kerjasama yang selama ini dibina dengan penuh harapan.

Sehubungan itu, beliau  menegaskan agar semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya PKR, agar menghormati semangat kesetiaan dan etika politik demi memelihara kestabilan serta keutuhan gabungan kerajaan.

Di dalam PKR pula, ‘hangat’ diperbincangkan adakah penyertaan Tengku Zafrul di Ampang sebagai persiapan awal untuk beliau bertanding di kerusi Parlimen atau DUN di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti?

Lebih ‘hangat’ lagi sudah ada suara-suara nakal yang menyatakan tidak mustahil pilihan raya kecil diadakan di Ampang sama ada di kerusi Parlimen mahupun DUN  bagi membolehkan Tengku Zafrul kembali menjadi Yang Berhormat apabila tempoh Senator beliau berakhir hujung tahun ini.

Kalau beliau mahu dikekalkan sebagai menteri maka kerusi Parlimen yang kini disandang oleh Rodziah Saleh harus dikosongkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil. Dan jika Tengku Zafrul mahu dilantik sebagai Menteri Besar Selangor maknanya kerusi DUN di kawasan itu perlu dikosongkan.

Ketika ini di bawah Parlimen Ampang terdapat dua kerusi DUN iaitu Lembah Jaya yang disandang oleh Ketua PKR Ampang, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad dan Bukit Antarabangsa oleh Mohd.Kamri Kamaruddin.

Ternyata kehadiran Tengku Zafrul ke dalam PKR ‘memanaskan’ UMNO yang kecewa dengan keputusan PKR menerima Tengku Zafrul sebagai ahli manakala dalam PKR pula, suasana menjadi ‘hangat’ kerana mereka tahu penyertaan Tengku Zafrul yang tewas dalam PRU-15 di kawasan Parlimen Kuala Selangor bukan saja-saja.

Bagaimanapun Tengku Zafrul tidak perlu bimbang berhubung  perasaan ‘panas’ UMNO terhadap beliau dan PKR kerana sama ada bagi kerusi Parlimen mahupun DUN di Ampang, ia kerusi selamat untuk PKR. Dalam PRU-15, Rodziah menang di Parlimen tersebut dengan majoriti 29,681 undi manakala Altimet menang di Lembah Jaya dengan majoriti 6,678 undi dan Mohd Kamri di Bukit Antarabangsa dengan majoriti 16,280 undi. UMNO tiada apa-apa kekuatan di situ.

 Justeru tumpuan Tengku Zafrul adalah mengambil hati penyokong-penyokong Pakatan Harapan khususnya PKR jika mahu bertanding mana-mana kerusi  di Ampang. 

UMNO pula tak  perlulah emosi dengan penerimaan Tengku Zafrul ke dalam PKR. Janganlah kerana isu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, mereka bermasam muka dengan PKR – sekutu dalam kerajaan.  

 Lagipun inilah yang dipanggil taktikal untuk  survival parti seperti mana taktikal UMNO sedia bergabung dengan PH bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas PRU-15 demi membolehkan UMNO terus berada dalam kerajaan walaupun kalah teruk dalam pilihan raya berkenaan.