Tersungkur di saat-saat rakyat memerlukan | Madani News

Tersungkur di saat-saat rakyat memerlukan

Tersungkur di saat-saat rakyat memerlukan

Lebih kurang sebulan lalu, saya menerima sepucuk surat daripada engerusi sebuah koperasi di Johor yang amat kecewa atas kegagalan koperasinya mendapatkan kerjasama daripada sebuah jabatan yang menguruskan komuniti terbesar negara dan diamanahkan untuk membangunkan kegiatan sekuriti makanan untuk komuniti setempat.

Demi menjaga nama baik agensi berkenaan, saya tidak akan mendedahkan nama-nama agensi tersebut dan agensi lain yang turut akan saya perkatakan dalam artikel kali ini.

Dalam surat pengerusi koperasi berkenaan, beliau meminta saya yang pernah menjadi pembimbing strategik jabatan tersebut untuk datang semula ke Johor bagi menjenguk mereka. Ia bertujuan bagi mengembalikan semangat mereka di seluruh Johor yang semakin pudar akibat jabatan sendiri dilihat tidak mempedulikan program sekuriti makanan secara komuniti yang pernah diasaskan oleh ‘bos jabatan terdahulu’ dengan bimbingan saya sebagai rakan pakar strategik.

Masalah mula berlaku apabila bos terbaik di negeri berkenaan bertukar ke ibu pejabat di Putrajaya. Orang baru yang menggantikannya merasakan itu legasi orang lama, maka tidak perlu diteruskan macam dulu.

Selain pengerusi koperasi berkenaan, beberapa pemimpin komuniti yang sangat aktif juga meluahkan rasa kecewa apabila semangat mereka terus luntur, malah ada yang mati begitu sahaja.

Mereka mendakwa, bos baru hanya akan turun apabila ketua setiausaha kementerian atau ketua pengarah turun melawat satu atau dua projek yang berjalan dan menggambarkannya  bahawa program seluruh negeri sedang berjalan dengan baik.

Menurut mereka, jika dahulu, bukan sahaja pegawai-pegawai turun padang, malah perhimpunan berkala semua komuniti akan membolehkan program yang turut disokong penuh oleh kerajaan negeri Johor tersebut rancak bergerak.

 Keadaan itu membolehkan ia bukan sahaja mencapai objektif untuk memupuk perpaduan masyarakat, bahkan memenuhi kehendak kerajaan bagi menangani kos sara hidup melalui kegiatan yang berasaskan sekuriti makanan.

Lebih menyedihkan, apabila pengerusi koperasi itu memaklumkan bahawa beliau gagal berjumpa dengan ‘bos yang baru’ kerana usaha mereka ‘dipandang remeh’.

Kisah program sekuriti makanan di Johor ini adalah sebahagian  kisah-kisah program sekuriti makanan yang menjadi episod malang kepada negara akibat kegagalan cara kita bekerja dan daya pemikiran (mindset) yang gagal melihat kepentingan negara mengatasi kepentingan diri. Situasi politik yang tidak menentu dalam tempoh 10 tahun lalu telah  memburukkan lagi keadaan.

Ketika saya diperkenan  menghadap Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Sultan Idris Mutawakil Alallahi Shah di istana baginda baru-baru ini, perkara yang sama turut ditanya baginda tentang projek-projek pertanian khususnya milik kerajaan negeri yang gagal dan terbengkalai. 

 Baginda turut menzahirkan rasa terkilan apabila ada pusat pelancongan pertanian di Perak yang pernah menjadi tempat keluarga diraja beriadah yang dsiap pada tahun 2018, tiba-tiba hancur berderai pada tahun 2023 hingga menjadi jolokan ‘Lokasi Hantu Kak Limah Projek Gagal’. Ia berikutan video seorang pelakon ‘Hantu Kak Limah’ melawat resort terbengkalai tersebut yang kononnya mahu diambil alih oleh artis berkenaan.

Resort lebih 100 ekar tersebut, sepatutnya bukan sahaja sebagai pusat pengeluaran tanaman makanan tetapi juga sebagai pusat kesedaran, pendidikan dan memupuk minat masyarakat terhadap kepentingan pertanian serta  industri makanan bertaraf dunia.

Pada tahun lalu, saya juga berkesempatan untuk meninjau semula sebuah projek pertanian besar di Papar, Sabah milik sebuah agensi berkaitan pembangunan wilayah. Saya pernah menjalinkan kerjasama dengan agensi berkaitan dalam menyediakan tenaga kerja mahir dan keusahawanan. 

 Alangkah terkejutnya saya apabila kemudahan projek yang bernilai jutaan ringgit, akhirnya terbiar sepi dan dihuni anjing liar. Pengawal keselamatan memberitahu bahawa sejak Covid-19, tempat itu ditinggalkan begitu sahaja. Bagaimanapun saya difahamkan keadaan itu berlaku sebelum Covid 19 lagi.

Jika hendak diceritakan, panjanglah pula rencana saya tetapi perkara ini adalah sebahagian kisah malang negara kita dalam sekuriti makanan apabila kita tersilap langkah dalam merancang dan menguruskan kesinambungan dasar sekuriti makanan kita.

Berdasarkan pengalaman saya, semua ini berpunca daripada kelemahan kita melihat perspektif sekuriti makanan sebagai keselamatan serius dan mencari model baru melaksanakannya dengan pendekatan baru seperti sinergi awam dan swasta yang sebenar.

Tugas agensi adalah untuk menjadi fasilitator yang berkesan, manakala pemegang taruh (stake holder) pula sebagai pemain industri yang utama. Jujur saya katakan bahawa agensi kerajaan sebenarnya tiada kepakaran, pengalaman dan masa yang mencukupi untuk mengurus perlaksanaan dasar yang memerlukan penguasaan serta kekuatan sebagai entiti perniagaan.

Zaman kerajaan tahu semua dan pemain industri (sama ada komuniti atau syarikat) yang selalu dilihat sebagai ‘pesaing (rival)’ sudah berakhir. Begitu juga zaman orang politik perlu menjaga sokongan politik kawan-kawan penyokong hingga salah memilih bakat dan kebolehan sebenar (bukan ahlinya), juga perlu dihentikan (faktor perosak utama).

Terimalah hakikat bahawa negara semakin tenat dengan cabaran dunia dan perubahan baru. Kos hidup terutama sekuriti makanan adalah keselamatan yang tidak dikompromi oleh rakyat. Beberapa siri kejatuhan kerajaan di Malaysia sendiri dalam tempoh 10 tahun lalu adalah berpunca daripada isu serta sentiment rakyat terhadap kos sara hidup terutama kos makanan yang semakin melampau dan menggila. 

Ketepikan ego dan bodoh sombong kita!

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.