Zara Qairina : Pasukan khas Bukit Aman ambil alih siasatan, Musa Aman mahu kes disiasat secara telus | Madani News

Zara Qairina : Pasukan khas Bukit Aman ambil alih siasatan, Musa Aman mahu kes disiasat secara telus

Zara Qairina : Pasukan khas Bukit Aman ambil alih siasatan, Musa Aman mahu kes disiasat secara telus

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Ketika memaklumkan perkara itu dalam kenyataan hari ini, Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) berkata, penghantaran pasukan task force terdiri daripada sembilan anggota dan pegawai itu adalah komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.

“PDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa. Sehubungan itu, PDRM menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional, serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokannya.

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian orang ramai apabila ia dikaitkan dengan kes buli.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman mahu siasatan kes Allahyarham Zara Qairina dilaksanakan dengan penuh ketelusan serta ketelitian meliputi setiap aspek, tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Katanya, menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan, ia adalah suatu perintah Allah untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah.

Dalam pada itu, Istana Seri Kinabalu juga menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil, serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes ini.

“Orang ramai terutamanya pengguna media sosial tidak wajar membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau menggalakkan teori konspirasi berhubung kes ini.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menggugat integriti siasatan malah boleh menyebabkan kesedihan yang lebih mendalam kepada keluarga Zara yang sedang berduka,” kata beliau dalam dalam kenyataan.