3 ditahan berkaitan video ugut pemimpin negara | Madani News

3 ditahan berkaitan video ugut pemimpin negara

3 ditahan berkaitan video ugut pemimpin negara
Gambar FB PDRM

POLIS menahan tiga lelaki kerana dipercayai ada kaitan dengan video tular yang mengandungi unsur hasutan dan ugutan jenayah terhadap pemimpin negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata ketiga-tiga lelaki berusia 27, 35 dan 69 tahun itu ditahan untuk siasatan berkaitan ugutan jenayah, hasutan dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Beliau berkata kes pertama melibatkan satu komen yang dimuat naik oleh akaun Facebook ‘Jibbie Sahaq’, yang berunsur hasutan hingga boleh menggugat ketenteraman awam dan ugutan jenayah terhadap seorang pemimpin negara.

Kes kedua melibatkan seorang suspek berusia 69 tahun yang menyampaikan ucapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, semalam.

Kes ketiga pula berkait komen daripada akaun Facebook ‘Ayien Rose’, yang didakwa mengandungi unsur ugutan jenayah dan boleh menimbulkan kegentaran awam.

“Polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, ugutan jenayah, atau apa jua bentuk provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan negara,” kata Kumar dalam kenyataan.

Awal minggu ini, Pemuda PKR membuat laporan polis terhadap individu yang didakwa menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, dakwaan palsu dan ugutan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga presiden parti itu. – MADANI NEWS