FIFA gantung 7 pemain warisan Harimau Malaya, denda FAM RM1.9 juta

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Disiplin FIFA mengenakan hukuman berat terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain kerana melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berhubung pemalsuan dan penyelewengan dokumen.
Pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Menurut FIFA, FAM telah mengemukakan pertanyaan berkaitan kelayakan pemain kepada badan induk bola sepak dunia itu, namun dokumen yang disertakan telah diubah bagi membolehkan pemain-pemain berkenaan diturunkan.
Kesemua tujuh pemain tersebut diturunkan dalam perlawanan kelayakan pusingan ketiga Piala Asia AFC Arab Saudi 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun 2025. Aduan rasmi kemudian diterima FIFA berkaitan status kelayakan beberapa pemain import naturalisasi itu.
Selepas meneliti semua bukti, Jawatankuasa Disiplin FIFA memutuskan:
- FAM dikenakan denda CHF350,000 (anggaran RM1.9 juta).
- Setiap pemain terlibat didenda CHF2,000 (anggaran RM10,800).
- Ketujuh-tujuh pemain digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.
Selain itu, isu kelayakan pemain berkenaan untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia telah dirujuk kepada Tribunal Bola Sepak FIFA untuk pertimbangan lanjut.
FAM serta pemain yang dikenakan tindakan telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut hari ini. Mereka mempunyai tempoh sepuluh hari untuk mengemukakan permohonan keputusan bertulis penuh sekiranya mahu, yang kemudiannya akan diterbitkan di laman rasmi legal.fifa.com.
Keputusan itu juga masih tertakluk kepada kemungkinan rayuan di hadapan Jawatankuasa Rayuan FIFA. – MADANI NEWS