Harimau Malaya tumpaskan musuh tradisi, Singapura 2-1 di Bukit Jalil | Madani News

Harimau Malaya tumpaskan musuh tradisi, Singapura 2-1 di Bukit Jalil

Harimau Malaya tumpaskan musuh tradisi, Singapura 2-1 di Bukit Jalil

MALAYSIA membuka kalendar antarabangsa September dengan kemenangan apabila menewaskan musuh tradisi, Singapura dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini..

Penjaring terbanyak Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueiredo mengetuai jentera serangan skuad kebangsaan, sementara bekas kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin mengetuai benteng Singapura.

Separuh masa pertama menyaksikan Arif Aiman Hanapi hampir membuka tirai jaringan pada minit kelima. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Izwan Mahbud.

Tidak lama selepas itu, giliran Figueiredo pula menguji kecekapan penjaga gol Lion City Sailors (LCS) itu. Percubaan bekas penyerang Istanbul Basaksehir itu berjaya ditangkap kemas Izwan.

Gol yang dicari Malaysia akhirnya muncul pada minit ke-26. Selepas hantaran cantik Endrick dos Santos, kepada Stuart Wilkin disudahkan dengan rembatan kencang mengatasi Izwan.

Gol ketujuh pemain Sabah FC itu bersama Harimau Malaya memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Figueiredo mencetak namanya sebagai penjaring 10 minit selepas babak kedua bermula selepas menerima hantaran lintang cantik daripada Wilkin yang mudah disempurnakan penyerang kelahiran Sao Paulo itu.

Situasi ini mendorong pengendali Singapura, Gavin Lee membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat mengekang asakan Harimau Malaya.

Pengendali skuad negara, Peter Cklamovski pula memilih memasukkan Sergio Aguero dan Quentin Cheng untuk memperkemaskan rentak permainan.

Tatkala Harimau Malaya selesa di hadapan, pemain gantian, Ilhan Fandi mengurangkan defisit gol pada minit ke-72 melalui sepakan kencang dari jarak jauh.

Gol tersebut mendorong skuad kebangsaan kembali meningkatkan tekanan untuk memburu gol ketiga. Ini mendorong Cklamovski memasukkan Gabriel Palmero dan Romel Morales sebagai pemain gantian.

Kedua-dua pasukan terus memburu gol tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini memberi keyakinan kepada Malaysia menjelang aksi menentang Palestin pada 8 September. – MADANI NEWS