PAS sedia pimpin Malaysia yang berbilang kaum – Hadi

ALOR SETAR: Tan Sri Abdul Hadi menyatakan kesediaan PAS untuk memimpin Malaysia yang berbilang kaum dengan berpegang teguh pada Perlembagaan Persekutuan yang ditafsirkan menurut acuan Islam yang sebenar.
“Percayalah bahawa hanya Islam yang sempurna, adil, dan rahmat dapat menyatukan masyarakat majmuk dengan harmoni dan selamat,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-71, Kota Sarang Semut, di sini, hari ini.
Bagi meyakinkan rakyat, Presiden PAS dan Ahli Parlimen Marang itu turut menggariskan komitmen parti sebagai satu janji kepada rakyat bukan Islam.
Menurutnya, Islam sentiasa mendahulukan perdamaian dan persaudaraan tanpa ada paksaan dalam beragama, walaupun ketika ia berkuasa penuh, memetik laporan HarakahDaily
Tambahnya, pemerintah Islam diwajibkan untuk bersikap adil kepada semua, dan pada masa yang sama, penganut agama lain diizinkan untuk melaksanakan ajaran agama mereka dengan batasan menjaga sensitiviti umat Islam.
Bahkan, katanya, umat Islam sendiri disuruh untuk menjaga sensitiviti penganut bukan Islam, sehinggakan dilarang memaki sembahan mereka sebagaimana firman Allah dalam Surah al-An‘am, ayat 108.
Di samping itu, beliau menegaskan PAS terus berpegang kepada pendekatan damai (muwajahah silmiyyah) dan memilih demokrasi sebagai medan perjuangan.
Justeru, beliau memberi komitmen untuk memimpin sebuah negara masyarakat majmuk dengan adil berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan tanpa meminggirkan hak kaum lain.
Katanya, pendekatan damai dipilih kerana ia selari dengan petunjuk al-Quran dan kebijaksanaan Rasulullah SAW yang bermatlamat menyelamatkan seramai mungkin manusia bersama Islam tanpa sebarang paksaan.
“PAS terus memilih demokrasi, walaupun banyak kelemahan dan salah lakunya. Namun, hikmah dakwah berjaya kerana hujahnya yang benar,” katanya
Beliau menambah, kejayaan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS dalam mengatasi masalah rasuah telah diakui oleh kawan dan lawan, namun PAS sentiasa bersyukur dan merendah diri kepada Allah.
Tegasnya, pendekatan PAS adalah untuk memberi penerangan melalui hujah (menerang), bukannya menyerang, serta sentiasa berlaku adil kepada semua pihak termasuk musuh, selaras dengan perintah Allah dalam Surah al-Ma’idah, ayat 8. – HARAKAHDAILY