PAS yakin menang 80 kerusi Parlimen dalam PRU16, berbanding 43 ketika ini | Madani News

PAS yakin menang 80 kerusi Parlimen dalam PRU16, berbanding 43 ketika ini

PAS yakin menang 80 kerusi Parlimen dalam PRU16, berbanding 43 ketika ini

PAS berkeyakinan tinggi menang 80 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) selepas parti itu secara tunggal memiliki Ahli Parlimen teramai iaitu 43 wakil ketika ini.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata perkara itu dapat dicapai sekiranya pendekatan dan strategi digunakan dalam mendekati pengundi bukan Melayu berjaya dicapai.

Katanya, pihaknya mengakui agak sukar mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu sama seperti Pakatan Harapan (PH) sukar mendapat sokongan pengundi Melayu.

“(Menang) 80 kerusi. Kita ada perancangan dan strategi untuk tambah sokongan pengundi bukan Melayu sebab akhir-akhir ini ramai mereka kecewa dengan prestasi PH.

“Jadi kita harap dengan kekecewaan ini dan dengan pendekatan kita yang betul dan bijaksana kita boleh menarik sokongan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS di Alor Setar, hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan PAS tidak mempunyai calon sesuai diketengahkan sebagai Perdana Menteri, Mohd Amar menegaskan parti itu mempunyai banyak calon untuk ditampilkan.

“Mengapa tak ada (calon PM), saya boleh jadi Perdana Menteri, apa masalahnya? Cuma kita tengok apa keperluan kita menyebut calon Perdana Menteri (ketika ini), bagi PAS kami sejak dahulu lagi memang tak pernah menampilkan ‘poster boy’ sebab kepentingan kita adalah fokus untuk menang.

“Apabila menang sesiapa layak dipilih, sebab isu Perdana Menteri atau Menteri Besar ini parti hanya boleh cadang, tapi yang tentukan Agong dan Sultan jadi kita kena hormat juga sensitiviti itu,” katanya. – HARIAN METRO