Selangor terus dirundung malang, tewas lagi di Kuching

SELANGOR FC terus bergelut mencari rentak apabila sekali lagi tewas dalam saingan Liga Super, kali ini ditundukkan 0-1 oleh Kuching City FC di Stadium Negeri, Sarawak.
Gol tunggal Ramdhan Saifullah pada minit ke-68 melalui sepakan percuma cukup untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad The Cats, sekali gus memintas Selangor dalam carta liga.
Biarpun Selangor melancarkan beberapa percubaan berbahaya di babak kedua, ketangkasan penjaga gol tuan rumah Haziq Nadzli menafikan usaha anak buah Tan Cheng Hoe untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata.
Insiden panas tercetus pada minit ke-38 apabila Daniel Amier dilayangkan kad merah kerana mengasari Alvin Fortes, namun semakan VAR menyaksikan hukuman diturunkan kepada kad kuning.
Kekalahan di Kuching ini merupakan yang ketiga buat Selangor dalam aksi Liga Super musim 2025/2026 selepas turut tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pembukaan dan kemudiannya tunduk di tangan Negeri Sembilan FC.
Lebih membimbangkan, prestasi hambar itu hadir tidak lama selepas skuad Gergasi Merah dimalukan Bangkok United di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two, apabila tumbang 2-4 di laman sendiri.
Rentetan keputusan buruk ini mula menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong yang semakin lantang mendesak pihak pengurusan tampil dengan perancangan jelas untuk mengembalikan maruah pasukan.
Dengan liga masih panjang, Selangor perlu segera bangkit jika tidak mahu terus hanyut dalam kekecewaan, apatah lagi status mereka sebagai antara kelab gergasi bola sepak tanah air kini semakin tercabar. – MADANI NEWS