SPRM tutup kes Farhash berkaitan lesen perlombongan mineral di Sabah – Azam Baki


SURUHANJAYA Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap kes bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador berhubung penerokaan mineral di Sabah selesai dan ditutup.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata keputusan untuk menutup siasatan terbabit dibuat susulan Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak.
“Siasatan kita jalankan dengan memanggil semua yang terbabit dan kita juga merekod kenyataan daripada Sabah Mineral Management, kerajaan negeri, siapa-siapa yang dikatakan terbabit.
“Akhirnya, Timbalan Pendakwa Raya sudah membuat keputusan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak sama ada di bawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan dan tiada isu tadbir urus, maka kes ini ditutup,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini
Jelasnya lagi, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash pernah mengemukakan permohonan penerokaan mineral kepada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) pada Mac 2023 namun gagal menyerahkan dokumen yang diminta, menyebabkan permohonan itu ditamatkan pada Mac tahun ini.
Sebelum ini, portal MalaysiaNow mengaitkan Farhash dengan skandal lesen penerokaan mineral di Sabah, termasuk memuat naik rakaman audio yang didakwa menunjukkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan sokongan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash.
Lembaga Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), yang dipengerusikan Hajiji, kemudian menafikan bahawa mana-mana syarikat yang dikaitkan dengan Farhash telah diberikan lesen penerokaan di negeri itu. – MADANI NEWS