Subsidi petrol: Kad khas perlu ganti MyKad, kurangkan risiko tercicir - Tony | Madani News

Subsidi petrol: Kad khas perlu ganti MyKad, kurangkan risiko tercicir – Tony

Subsidi petrol: Kad khas perlu ganti MyKad, kurangkan risiko tercicir – Tony

BEKAS Ahli Parlimen Tony Pua menegaskan penggunaan MyKad bagi menuntut subsidi petrol RON95 berisiko tinggi kerana kad pengenalan itu mudah hilang dan mendatangkan beban denda.

“Kalau MyKad hilang, denda boleh mencecah RM1,000 bagi kehilangan kali ketiga. Ini tentu membebankan, apatah lagi jika orang ramai perlu bawa kad itu setiap kali ke stesen minyak,” katanya kepada Malaysiakini.

Sehubungan itu, Pua menghidupkan semula cadangan memperkenalkan “Kad 95”, iaitu kad khas untuk tuntutan subsidi, bagi menggantikan penggunaan MyKad. Katanya, sistem boleh dilaksanakan menggunakan terminal kad kredit sedia ada di stesen minyak tanpa perlu pemasangan mesin baharu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution mengingatkan rakyat supaya memastikan cip MyKad berfungsi menjelang pelaksanaan subsidi petrol bersasar hujung bulan ini. Harga RON95 dijangka turun kepada RM1.99 seliter selepas skim itu bermula.

Cadangan Pua ini berbeza dengan bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, yang mencadangkan pemberian tunai terus kepada rakyat. Namun menurut Pua, pendekatan itu sukar diterima masyarakat kerana rakyat masih mahu merasai subsidi secara langsung di pam minyak.

Kerajaan setakat ini mengekalkan keputusan menggunakan MyKad, dengan data Pangkalan Data Pusat (Padu) sebagai rujukan utama penerima bantuan. – MADANI NEWS