“Kami tidak akan berhenti!” – Selepas penahanan Sumud Flotila, kini Freedom Flotilla pula menuju ke Gaza

TINDAKAN tentera laut Israel menahan puluhan aktivis Global Sumud Flotila baru-baru ini nyata tidak menggentarkan gerakan solidariti antarabangsa untuk Palestin. Sebaliknya, penahanan itu menjadi pencetus semangat baharu apabila muncul pula kumpulan aktivis lain yang menamakan diri mereka Freedom Flotilla Coalition, kini sedang menuju ke Gaza dengan misi kemanusiaan yang lebih besar.
Freedom Flotilla yang diketuai kapal utama Vicdan dan disertai 10 kapal lain hanya berbaki 430 batu nautika lagi sebelum memasuki perairan Gaza, dijangka tiba dalam tempoh tiga hingga empat hari. Konvoi itu membawa doktor, jururawat, wakil organisasi media serta tiga anggota Parlimen Turkiye, dengan misi utama menyalurkan bekalan perubatan ke Gaza.
Jurucakapnya, Behesti Ismail Songur menegaskan bahawa usaha mereka bukan sekadar penghantaran bantuan, tetapi simbol perjuangan untuk memecahkan sekatan Israel yang dianggap tidak berperikemanusiaan.
“Walau sekuat mana pun usaha mereka menghalang flotila ini, gerakan ini akan terus berkembang dan kemarahan rakyat awam yang tulus ini akan sampai ke sempadan Palestin serta memecahkan sekatan itu,” katanya.
Songur turut mengingatkan bahawa ramai aktivis kemanusiaan masih ditahan Israel selepas menyertai Global Semud Flotila, namun penindasan itu hanya menambah perhatian global terhadap isu Gaza. “Selepas 7 Oktober, kami menyiapkan dan melancarkan kapal Vicdan. Sejurus selepas itu, kapal Madleen dan kemudian Hanzala turut dilancarkan. Ini bukti gerakan ini tidak akan berhenti,” katanya memetik laporan Bernama-Anadolu.
Gerakan yang Tidak Akan Padam
Penahanan aktivis Sumud Flotila jelas bertujuan menakut-nakutkan dunia agar tidak mencabar sekatan Israel. Namun perkembangan terbaru menunjukkan strategi itu memakan diri. Kehadiran Freedom Flotilla membuktikan semakin ramai pihak antarabangsa tampil berani, meskipun menyedari risiko ditahan, dipenjara atau berdepan serangan tentera laut Israel.
Faktor utama yang mendorong lebih ramai menyertai misi ini ialah rasa kemanusiaan sejagat dan kesedaran bahawa sekatan berpuluh tahun ke atas Gaza tidak lagi boleh diterima masyarakat antarabangsa. Setiap serangan, penahanan atau rampasan kapal hanya memperhebatkan sorotan media global terhadap isu Palestin, sekali gus menambah sokongan moral dan politik kepada gerakan flotila.
Seperti yang ditegaskan Songur, sekatan Gaza hanya boleh dipecahkan melalui laut, dan dengan semakin banyak kapal berlayar menuju ke sana, Israel berdepan cabaran baharu – mengekang kemaraan solidariti antarabangsa yang tidak mudah dipatahkan.