Kos tunai haji 2026 kekal RM33,300 seorang, jemaah B40, M40 dapat subsidi

KOS menunaikan ibadat haji bagi jemaah Muassasah kekal pada kadar RM33,300 seorang bagi musim haji 1447H/2026M, menjadikannya tahun ketiga berturut-turut tanpa sebarang peningkatan, walaupun berdepan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di Tanah Suci.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa keputusan itu dapat dicapai hasil pelaksanaan langkah strategik termasuk tempahan awal, kontrak penginapan jangka panjang, serta kontrak penerbangan lima tahun bagi mengurangkan kesan inflasi dan ketidaktentuan harga di Makkah dan Madinah.
Menurut TH, kadar Bayaran Haji bagi semua kumpulan jemaah juga dikekalkan dengan bantuan kewangan bersasar yang terus diberikan kepada mereka yang layak.
Bagi musim haji 1447H/2026M, TH dijangka menanggung lebih RM210 juta Bantuan Kewangan Haji, meneruskan usaha meringankan beban kewangan bakal jemaah sejak skim itu diperkenalkan pada tahun 2001.
“TH berkeyakinan dapat mengekalkan tahap perkhidmatan yang cemerlang seperti yang diharapkan jemaah. Kami berbangga dengan pencapaian Diamond Award Labaytum pada musim lalu dan akan berusaha mempertahankan reputasi tersebut,” kata Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia kerana mengekalkan bantuan tunai RM1,000 bagi setiap jemaah B40 di bawah inisiatif Kerajaan Madani.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata strategi pengurusan kos yang berkesan membolehkan TH mengekalkan kadar kos haji tanpa menjejaskan keselesaan jemaah.
“Beberapa bangunan penginapan baharu dengan kemudahan moden telah dikenal pasti bagi memberi keselesaan lebih baik kepada jemaah,” katanya.
Sejak Bantuan Kewangan Haji diperkenalkan pada 2001, jumlah keseluruhan bantuan yang telah ditanggung TH kini mencecah lebih RM2.72 bilion.
Bantuan Bersasar Ikut Pendapatan
TH mengekalkan pendekatan bantuan kewangan haji secara bersasar mengikut konsep istito‘ah (kemampuan) bagi memastikan bantuan diagihkan secara adil dan mampan.
- Jemaah B40 hanya membayar 45% daripada kos haji penuh, selepas menerima Bantuan TH sebanyak RM17,300 dan Bantuan Kerajaan Madani RM1,000 — menjadikan keseluruhan bantuan melebihi separuh kos haji.
- Jemaah M40 pula menikmati bantuan sebanyak RM9,800 seorang atau 29% daripada kos keseluruhan.
- Jemaah T20 yang berpendapatan sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan perlu menanggung kos penuh RM33,300.
Surat Tawaran Bermula 24 Oktober
TH turut memaklumkan bahawa surat tawaran haji untuk 31,600 bakal jemaah akan dikeluarkan secara berperingkat mulai 24 Oktober 2025.
Mereka yang belum terpilih boleh mengemukakan rayuan mulai 3 November melalui platform digital THiJARI. Antara kriteria yang diambil kira dalam proses rayuan ialah tempoh pendaftaran, umur, baki simpanan, serta kekerapan permohonan.
Bakal jemaah diingatkan agar mempunyai sekurang-kurangnya RM15,000 dalam akaun TH dan lulus pemeriksaan kesihatan bagi melayakkan diri menerima tawaran.
Dalam masa sama, TH sedang menganjurkan Kursus Asas Haji di lebih 200 masjid seluruh negara sejak 3 Oktober lalu, sebagai persediaan awal bagi bakal jemaah menunaikan ibadat haji dengan ilmu yang mencukupi. – MADANI NEWS