Letupan Putra Heights 'kemalangan buatan manusia': Penduduk saman kerajaan dan Petronas | Madani News

Letupan Putra Heights ‘kemalangan buatan manusia’: Penduduk saman kerajaan dan Petronas

Letupan Putra Heights ‘kemalangan buatan manusia’: Penduduk saman kerajaan dan Petronas
- Gambar Bernama

SHAH ALAM – Enam bulan selepas tragedi letupan paip gas di Putra Heights yang meranapkan lebih 80 kediaman dan mencederakan ratusan orang, penduduk kini bangkit menuntut keadilan.

Seramai 36 penduduk Taman Putra Harmoni memfailkan saman terhadap beberapa pihak termasuk Petronas Gas Berhad, Hong & Hong Homes Sdn Bhd, Pinterest Ventures Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.

Tindakan itu difailkan melalui firma guaman bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, yang turut mengetuai pasukan guaman mewakili pihak plaintif.

Dalam kenyataan hari ini, Jawatankuasa Penduduk Topaz dan Citrine Putra Heights menegaskan, tragedi pada 1 April lalu itu bukan sekadar bencana, sebaliknya kemalangan buatan manusia yang boleh dielakkan.

“Talian paip gas diletakkan terlalu hampir di bawah rumah kami, tetapi langkah keselamatan tidak mencukupi.
Kerja pembinaan di atas saluran paip dibenarkan walaupun kami sudah menyuarakan kebimbangan,” kata mereka.

Penduduk juga mendakwa selepas tragedi itu, mereka terus dibiarkan tanpa maklumat jelas manakala siasatan didakwa dijalankan secara tidak telus.

“Ramai antara kami masih tidak dapat pulang ke rumah sendiri.
Kanak-kanak mengalami trauma, terjaga pada waktu malam kerana ketakutan.
Kami hanya mahu kebertanggungjawaban,” tegas kenyataan itu lagi.

Menurut mereka, saman berkenaan bukan semata-mata untuk menuntut ganti rugi, tetapi sebagai rayuan untuk keadilan dan perubahan sistemik dalam cara keselamatan awam diuruskan.

Insiden yang berlaku pada hari kedua Aidilfitri itu menggegarkan kawasan sekitar apabila api setinggi lebih 30 meter menjulang dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.

Sebanyak 81 rumah musnah lebih 40 peratus, manakala 81 lagi rosak sebahagian dan 57 rumah terjejas tanpa terbakar.

Siasatan bercanggah

Pada 30 Jun, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendedahkan paip yang meletup itu tidak disokong sepenuhnya oleh tanah di sekelilingnya, menyebabkan sambungan kimpalan gagal akibat tekanan berulang.

Namun, pada 8 Julai, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan hasil siasatan polis, Jabatan Mineral dan Geosains serta JKKP mendapati kerja tanah bukan punca letupan dan pembangun telah mematuhi syarat keselamatan Petronas.

Beliau turut memaklumkan kerja-kerja pembinaan semula rumah kini berjalan lebih cepat daripada jadual.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan siasatan jenayah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas tiada unsur khianat atau sabotaj ditemui.

Penduduk bagaimanapun menolak penjelasan tersebut dan menegaskan tragedi itu tetap berpunca daripada kecuaian manusia yang boleh dicegah, serta berikrar akan terus berjuang “sehingga kebenaran terdedah dan keadilan ditegakkan”. – MADANI NEWS