PAS lantik Annuar Musa ketuai PRN Sabah atas faktor pengalaman, anak tempatan jadi calon

“Pengalaman Annuar juga sudah lama, selain pernah dilantik pengarah pilihan raya di Sabah untuk Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
PAS menegaskan pelantikan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukan disebabkan ketiadaan tokoh tempatan, sebaliknya kerana pengalaman luas dan kefahaman beliau terhadap geopolitik negeri itu.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata calon tempatan yang berkelayakan tetap akan dipilih untuk bertanding pada PRN Sabah ke-17 nanti.
“Bukan tiada calon tempatan, sebaliknya mereka yang berkelayakan di Sabah akan dipilih sebagai calon bertanding pada PRN. Sebab itu kita tidak lantik calon tempatan sebagai pengarah pilihan raya bagi mengelak kelam kabut.
“Pengalaman Annuar juga sudah lama, selain pernah dilantik pengarah pilihan raya di Sabah untuk Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Maklumat yang beliau ada mengenai geopolitik melebihi orang lain. Jadi, kita yakin pengalaman dan maklumat itu boleh membantu parti merangka strategi dengan baik,” katanya menurut Berita Harian pada Ceramah Umum Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November sebagai hari penamaan calon, 25 November pengundian awal, dan 29 November sebagai hari mengundi bagi PRN Sabah ke-17. – MADANI NEWS