Penjawat awam terima bantuan khas RM500 menjelang Aidilfitri

KERAJAAN hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak RM500 sempena Aidilfitri kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan khas sebanyak RM250 turut diberikan kepada pesara kerajaan dan akan mula diagihkan pada awal Mac 2026.
“Mengambil kira peningkatan gaji 2026 yang melibatkan penambahan 18 bilion ringgit, disusuli pemberian STR dan Sara bulanan, saya dengan ini mengumumkan bantuan khas kewangan RM500 ringgit kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
“Bantuan khas kewangan turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen sebanyak RM250 ringgit.
“Bantuan ini akan disalurkan pada awal Mac 2026 sempena menyambut Aidilfitri,” katanya sebelum mengakhiri pembentangan Belanjawan 2026.
Selain itu kata Anwar, kerajaan juga bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 bagi menghargai khidmat 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut dengan peruntukan RM35 juta. – MADANI NEWS