Rogol pembantu rumah: Rayuan Paul Yong ditolak, diarah jalani humuman penjara serta-merta

MAHKAMAH Persekutuan menolak rayuan terakhir bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, yang juga bekas anggota Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong terhadap sabitan kesalahan merogol pembantu rumahnya dari Indonesia enam tahun lalu.
Ketua Hakim Negara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang bersidang bersama Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah memutuskan sabitan Yong adalah sah dan mengarahkan beliau memulakan hukuman penjara lapan tahun serta-merta.
Yong, 55, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2022 atas kesalahan merogol pembantu rumahnya dari Indonesia ketika itu. Beliau dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan disebat dua kali.
Dalam keputusan majoriti tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Yong tetapi mengurangkan hukuman penjara kepada lapan tahun.
Farid ketika membaca penghakimannya berkata mahkamah rendah tepat dalam menganggap wanita Indonesia itu sebagai saksi yang boleh dipercayai.
“Beliau memberitahu mahkamah bahawa selepas kejadian itu, tertuduh (Yong) menakutinya agar tidak memberitahu isterinya, atau ‘anda akan mati’.
“Beliau kemudian menghubungi kedutaan dalam keadaan panik dan membuat laporan polis sehari kemudian (8 Julai 2019),” tambahnya.
Farid turut menyatakan tiada sebarang kesalahan prosedur mengikut Seksyen 265A Kanun Prosedur Jenayah, yang membolehkan mahkamah mengadakan siasatan untuk menentukan sama ada sesetengah saksi boleh memberi keterangan tanpa dilihat oleh tertuduh atau peguam.
“Tertuduh mendakwa Seksyen 265A telah melanggar haknya untuk didengar kerana beliau tidak hadir semasa prosiding siasatan.
“Tertuduh tidak mempunyai hak untuk didengar semasa siasatan ini. Siasatan ini juga tidak menjejaskan haknya untuk membela diri dan (bagi peguam) untuk menyoal balas saksi itu (dalam perbicaraan penuh),” katanya.
Yong diwakili oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan tujuh peguam lain, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari mewakili pihak pendakwaan.
Hisyam kemudian memberitahu wartawan bahawa keluarga Yong berasa kecewa dan akan mengkaji sepenuhnya alasan penghakiman mahkamah tertinggi sebelum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya. – MADANI NEWS