201 lelaki ditahan di ‘Pusat Kesihatan’, 17 penjawat awam antara diberkas disyaki terlibat aktiviti songsang
SERAMAI 201 lelaki berusia antara 19 hingga 60 tahun ditahan dalam satu operasi mengejut di sebuah pusat kesihatan dua tingkat di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur selepas disyaki terbabit dalam aktiviti songsang.
Operasi bersepadu jam 8 malam semalam melibatkan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Daripada jumlah yang ditahan, 17 adalah penjawat awam, termasuk doktor bedah, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), guru dan pegawai penguat kuasa.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Azani Omar, berkata risikan selama dua minggu dilakukan berdasarkan maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di premis berkenaan.
Premis itu berselindung di sebalik operasi pusat kesihatan lengkap dengan gimnasium, sauna, spa, kolam mandi dan ruang rehat, dipercayai menjadi lokasi pelanggan lelaki berkenalan dan berinteraksi.
Siasatan mendapati setiap pelanggan dikenakan bayaran pendaftaran RM10 seumur hidup, serta RM35 bagi setiap kemasukan, menunjukkan operasi itu berstruktur dan tersusun.
Premis tersebut turut menarik kehadiran warga asing, termasuk pelanggan dari Korea Selatan, Indonesia, Jerman dan China.
Dalam operasi sama, 80 lelaki Islam ditahan di bawah Seksyen 29, Akta Kesalahan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.
Polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 387B Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan luar tabii.
Premis itu dipercayai beroperasi setiap hari dari jam 5 petang hingga lewat malam, menyasarkan golongan pekerja yang mencari ruang “rehat” selepas waktu pejabat.
Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan susulan, sementara pihak berkuasa meneliti rangkaian operasi serta pihak yang mengendalikan premis tersebut. – MADANI NEWS
