Keputusan rasmi PRN Sabah: GRS menang 29 kerusi, Warisan 25 – Hajiji dijangka angkat sumpah KM esok
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada pukul 2.03 pagi hari ini.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi memenangi 29 kerusi, manakala Warisan memperoleh 25 kerusi dengan Barisan Nasional memenangi enam kerusi.
Walaupun tiada pihak yang mencapai bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian, kedua-duanya berada dalam kedudukan untuk membentuk gabungan kerajaan.
Namun, GRS dilihat berada di kedudukan yang lebih selesa, dengan Hajiji Noor dijangka akan mengangkat sumpah jawatan ketua menteri Sabah esok.
Difahamkan bahawa dia mungkin telah mendapat sokongan daripada 5 Adun bebas. Ini membolehkannya mempunyai sokongan 38 kerusi termasuk dari PH dan Upko — satu kerusi lebih daripada majoriti mudah.
Berikut adalah keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun di Kota Kinabalu, sebentar tadi.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – 29
Parti Warisan Sabah (Warisan) – 25
Barisan Nasional (BN) – 6
Bebas – 5
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) – 3
Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) – 2
Perikatan Nasional (PN) – 1
Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) – 1
Pakatan Harapan (PH) – 1
- MADANI NEWS
