PRN Sabah: Calon PH DUN Silam tarik diri daripada saingan 9 penjuru
CALON Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata pihaknya mengambil maklum keputusan Abdul Halim untuk menarik diri dan menghormati keputusan itu.
“Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini adalah keputusan peribadi beliau tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar.
“Kami menghormati keputusan tersebut yang dibuat secara bertanggungjawab selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk menjaga hubungan baik dan keharmonian antara parti-parti komponen dalam PH serta rakan kerjasama politik di Sabah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semangat setiakawan dan keutuhan kerjasama politik sentiasa menjadi keutamaan PKR Sabah dalam memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.
“Walaupun tidak bertanding, Abdul Halim telah menyatakan komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat Silam dan Lahad Datu dalam apa jua kapasiti yang mampu beliau sumbangkan,” katanya.
Mustapha juga berkata seluruh jentera serta penyokong PH di Silam khususnya dan Lahad Datu amnya diseru agar kekal tenang, fokus selain terus memperkukuh perpaduan demi memastikan kemenangan gabungan dan masa depan rakyat Sabah.
Susulan penarikan diri Abdul Halim, PH kini bertanding di 21 kerusi DUN.
Kerusi DUN Silam sebelum ini disandang oleh Dumi Pg Masdal daripada Parti Warisan.
Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, DUN Silam menyaksikan saingan sembilan penjuru untuk meraih sokongan daripada 28,261 pengundi.
Namun, dengan penarikan diri Abdul Halim, saingan DUN Silam kini lapan penjuru. Bagaimanapun, dipercayai nama Abdul Halim akan tetap tertera pada kertas undi.
N62: SILAM: SABAH: 28,261
1. Sharif Musa Sharif Mabul(BN-UMNO)
2. Datuk Mizma Appehdullah(GRS-Gagasan Rakyat)
3. Datuk Mohammad Yusof Apdal(Warisan)
4. Borkes @ Balkis Kalinggalan(PN-Bersatu)
5. Amat Kawoh @ Abd Rahman(Bebas/IND)
6. Mohammad Enriquez(SPP)
7. Brahim Bisel(PIS)
8. Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin(PKS)
(2020: Datu Dumi Masdal: Warisan Plus-Warisan: Majoriti: 1,542)
- MADANI NEWS
