SPRM nafi acu pistol ke kepala Tei ketika tangkapan, buat laporan polis ‘dakwaan fitnah’
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak keras dakwaan bahawa pegawainya mengacukan senjata ke kepala ahli perniagaan Albert Tei ketika tangkapan dilakukan hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata tindakan penahanan itu dijalankan sepenuhnya mengikut prosedur operasi standard (SOP), dan tuduhan mengacukan pistol seperti yang tular adalah tidak benar sama sekali.
“SPRM ingin menafikan berlakunya situasi di mana pegawai mengacukan senjata di kepala Albert Tei ketika tangkapan dilakukan.
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat pada hari ini bagi membolehkan pihak berkuasa terbabit menjalankan siasatan atas fitnah dibuat terhadap pegawai SPRM berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azam, laporan polis itu juga bagi memastikan tiada pihak-pihak tertentu menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih yang berkemungkinan dengan niat bagi mengganggu siasatan kes yang dijalankan SPRM.
Isteri Tei hari ini mendakwa terdapat pegawai SPRM mengacukan pistol ke arah suaminya sebelum menggari ahli perniagaan itu, lapor Malaysiakini yang menemui isteri ahli perniagaan tersebut di rumah mereka di Puchong.
Terdahulu, pegawai SPRM dengan kelengkapan taktikal penuh – termasuk jaket kalis peluru dan balaklava – menyerbu rumah Tei dan membawanya masuk ke sebuah kereta sedan berwarna hitam.
Tei merupakan watak utama dalam menyogok ahli politik di Sabah untuk mendapatkan lesen cari gali mineral, namun akhirnya dia tidak memperoleh lesen tersebut.
Terbaru dia mendakwa telah membelanjakan RM629,000 untuk bekas setiausaha politik perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang didakwanya telah memberi jaminan akan mendapatkan semula yang telah disalurkan kepada ahli politik terbabit. – MADANI NEWS
