1,000 pelanggan cipta sejarah, rasmi pembukaan BGM Burgerman Setapak
KUALA LUMPUR – Jenama burger tempatan BGM Burgerman bakal mencipta sejarah dalam industri makanan segera apabila 1,000 pelanggan dipilih sebagai perasmi rasmi pembukaan cawangan terbaharu mereka di Setapak, satu konsep perasmian pertama seumpamanya di Malaysia.
Majlis unik itu dijadual berlangsung esok (Sabtu, 31 Januari, jam 10 pagi) di premis BGM Burgerman Setapak, Tingkat Bawah, No. 2, Jalan Suria Setapak, Taman Suria Setapak, di sini.
Pengasas BGM Burgerman, Nordin Mat, berkata idea “Perasmian Oleh Rakyat” tercetus sebagai penghargaan kepada pelanggan setia dan komuniti yang menjadi tulang belakang kejayaan jenama tempatan itu.
“Ini bukan sekadar pembukaan kedai. Ini adalah perasmian oleh rakyat, untuk rakyat. Kami mahu komuniti menjadi sebahagian daripada sejarah kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Berbeza dengan konsep pembukaan rasmi yang biasanya dirasmikan oleh seorang tetamu kehormat atau VIP, setiap pelanggan yang terpilih akan memotong riben secara bergilir, bergambar sebagai perasmi dan menandatangani ‘Wall of Appreciation’ sebagai simbol sokongan komuniti.
Majlis itu menyasarkan kehadiran 1,000 perasmi rakyat, menjadikannya antara acara perasmian paling inklusif yang pernah dianjurkan oleh jenama makanan segera tempatan.
Sebagai tanda penghargaan, setiap pelanggan perasmi turut berpeluang menikmati Menu Mega Burger berharga RM17.90 pada harga promosi RM2.00, satu tawaran istimewa sempena pembukaan cawangan tersebut.
Menurut Nordin, pembukaan cawangan Setapak merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan BGM Burgerman untuk mendekati komuniti setempat sambil mengekalkan konsep mesra keluarga, harga mampu milik dan rasa premium.
“Kami mahu pelanggan bukan sekadar membeli, tetapi merasa memiliki jenama ini,” katanya.
Inisiatif itu dijangka mengukuhkan lagi kedudukan BGM Burgerman sebagai jenama burger tempatan yang menekankan keterlibatan komuniti serta pendekatan pemasaran berasaskan rakyat. – MADANI NEWS
