Kerajaan wartakan larangan warga asing beli minyak masak subsidi mulai 1 Mac
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewartakan larangan pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh warga asing, sebagai langkah menutup ketirisan subsidi yang selama ini merugikan negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peraturan itu akan digubal di bawah Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dikuatkuasakan bermula 1 Mac depan, tertakluk kepada semakan Jabatan Peguam Negara.
“Peruntukan undang-undang ini sedang dimuktamadkan sebelum dikuatkuasakan,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam masa sama, KPDN turut memperkenalkan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) bagi memantau rantaian pengedaran minyak masak paket 1kg secara digital, sekali gus meningkatkan ketelusan pengurusan subsidi.
Sistem eCOSS akan merekod setiap transaksi jual beli, bermula dari kilang penapis, syarikat pembungkusan, pemborong hingga peruncit. Semua pemain industri diwajibkan mendaftar dan merekod transaksi bagi melayakkan tuntutan bayaran balik subsidi.
“Kegagalan merekod transaksi akan menyebabkan tuntutan subsidi tidak diluluskan,” tegas Armizan.
Menurut beliau, permohonan bekalan minyak masak paket oleh pemborong dan peruncit juga perlu melalui sistem ini, menggantikan rekod manual sebelum ini dengan sistem digital yang lebih telus dan boleh diaudit.
Langkah ini dilihat sebagai usaha tegas kerajaan mengekang penyelewengan subsidi serta memastikan bantuan kerajaan benar-benar dinikmati rakyat tempatan. – MADANI NEWS
