PGM Tour 2026 anjur 19 kejohanan, pastikan kelestarian golf profesional tempatan
PETALING JAYA: Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM) melancarkan Kalender Jelajah PGM Tour 2026 yang menyaksikan penganjuran sebanyak 19 kejohanan, merangkumi 10 kejohanan lelaki dan sembilan kejohanan wanita, sekali gus menandakan komitmen berterusan badan itu dalam memastikan kelestarian golf profesional tempatan.
Pelancaran kalendar berkenaan dibuat di Kelab Golf Seri Selangor, sejurus tamat Kelayakan Sekolah PGM (Q-School) 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 Januari lalu.
PGM dalam satu kenyataan berkata, keperluan untuk memiliki jelajah profesional yang mampan amat penting bagi menjamin perkembangan dan daya saing pemain golf profesional tempatan, selain memastikan bakat sedia ada terus diberi platform kompetitif.
Menurutnya, PGM Tour kini memasuki tahun ke-16 penganjuran dengan peningkatan ketara dari segi standard permainan, skor kemenangan dan prestasi pemain menonjol yang membuktikan keberkesanan jelajah itu sebagai tulang belakang pembangunan golf profesional negara.
Sebagai usaha memperkukuh pembangunan bakat, PGM turut menjalinkan kerjasama rapat dengan Persatuan Golf Malaysia (MGA) bagi membuka laluan lebih luas kepada pemain amatur berbakat untuk beraksi di kejohanan anjuran PGM.

“Beberapa pemain amatur kini memegang kad PGM Tour, sekali gus membolehkan mereka bersaing secara langsung dengan pemain profesional dan mempercepatkan proses peralihan ke peringkat tertinggi,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, kalendar 2026 turut memberi penekanan kepada pembangunan golf wanita apabila satu kejohanan major wanita dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026 di Mines Resort & Golf Club dengan tawaran hadiah wang berjumlah RM200,000.
Kejohanan berkenaan akan dibuka kepada semua pemain wanita Malaysia, sama ada profesional atau amatur dan dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkasakan penyertaan serta daya saing atlet wanita dalam arena golf tempatan.
Antara venue yang akan menjadi tuan rumah PGM Tour 2026 termasuk Kelab Golf Seri Selangor, Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA), Saujana Golf & Country Club, Bukit Jawi Golf Resort, Royal Pekan Golf Club, Royal Pahang Golf Club, Port Dickson Golf & Country Club, Tiara Melaka Golf & Country Club, Mines Resort & Golf Club dan Palm Resort Golf & Country Club.
PGM turut merakamkan penghargaan kepada semua venue, penaja serta rakan strategik termasuk Asian Tour, yang terus membuka peluang kepada pemain tempatan untuk bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa. – MADANI NEWS
