Dividen TH 3.50 peratus, tertinggi dalam tempoh 8 tahun
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengagihkan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan bernilai RM3.22 bilion yang bakal memberi manfaat kepada 9.7 juta pendeposit seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata kadar berkenaan dicapai selepas mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.577 peratus atau RM95.3 juta.
“Agihan ini lebih tinggi berbanding 3.25 peratus bagi 2024, sekali gus mencerminkan prestasi kewangan yang lebih baik,” katanya di majlis pengumuman agihan keuntungan TH 2025 di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata agihan itu dibuat selaras dengan Akta Tabung Haji 1995 selepas penyata kewangan TH bagi tahun 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN).
Tambahnya, sejak penubuhan TH pada 62 tahun lalu, institusi berkenaan telah mengagihkan sebanyak RM49 bilion keuntungan secara kumulatif kepada pendeposit.
Dalam pada itu, Zulkifli turut memaklumkan jumlah pendapatan pelaburan TH tahun lalu meningkat kepada sebanyak RM4.64 bilion, berbanding RM4.56 bilion pada 2024.
“Aset pelaburan meningkat daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion, mencerminkan pertumbuhan portfolio berterusan dengan mengekalkan struktur alokasi aset yang seimbang,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata semakan pengagihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing boleh dibuat bermula esok pada jam 10 pagi menerusi platform THiJARI, selain di kaunter Tabung Haji (TH), Bank Islam dan Bank Rakyat.
Selain itu, katanya, semakan juga boleh dibuat melalui saluran elektronik rakan strategik perbankan TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic. – MADANI NEWS
