“Ini bukan perang kami” – Eropah tolak gesaan Trump untuk hantar kapal perang kawal keselamatan Selat Hormuz
BRUSSELS – Beberapa pemimpin Eropah menolak gesaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, supaya negara-negara NATO menyertai operasi ketenteraan bagi menjamin keselamatan laluan perkapalan di Selat Hormuz, ketika perang Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran terus memacu kenaikan harga minyak dunia.
Gesaan itu disuarakan Trump ketika konflik yang tercetus sejak 28 Februari lalu semakin memuncak, dengan harga minyak global melonjak melebihi AS$100 setong berikutan gangguan kepada laluan perdagangan tenaga utama dunia.
Dalam pertemuan menteri luar Kesatuan Eropah (EU) di Brussels pada Isnin, Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul menegaskan Berlin tidak bercadang menyertai sebarang operasi ketenteraan di kawasan itu.
Beliau berkata Eropah memerlukan penjelasan lebih jelas daripada Washington dan Tel Aviv mengenai objektif sebenar operasi mereka terhadap Iran sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kami menjangka Amerika Syarikat dan Israel memaklumkan secara telus kepada sekutu mereka mengenai tindakan yang diambil dan sama ada objektif operasi tersebut telah dicapai,” katanya kepada wartawan.
Menurut Wadephul, selepas gambaran yang lebih jelas diperoleh, barulah negara-negara Eropah boleh mempertimbangkan langkah seterusnya termasuk membentuk kerangka keselamatan serantau bersama negara-negara jiran di Timur Tengah.
Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius pula menegaskan negaranya tidak akan menyertai operasi ketenteraan di Selat Hormuz, tetapi bersedia menyokong usaha diplomatik bagi memastikan laluan perkapalan di kawasan itu kekal selamat.
“Ini bukan perang kami dan kami tidak memulakannya,” katanya sambil mempersoalkan apa yang diharapkan Trump daripada beberapa kapal perang Eropah sedangkan Tentera Laut Amerika Syarikat sendiri mempunyai keupayaan besar di rantau tersebut.
Jurucakap Canselor Jerman, Friedrich Merz turut menegaskan konflik berkenaan “tiada kaitan dengan NATO”, sambil menjelaskan pakatan itu diwujudkan bagi mempertahankan wilayah anggota dan bukannya untuk menyertai operasi perang di luar kawasan mandatnya.
Pendirian sama turut disuarakan oleh United Kingdom apabila Perdana Menteri, Keir Starmer menegaskan sebarang misi di Selat Hormuz bukan operasi NATO dan Britain tidak mahu terheret ke dalam perang yang lebih luas di Timur Tengah.
Beberapa negara EU lain seperti Belanda, Greece dan Itali juga menyuarakan keraguan terhadap cadangan Trump untuk membentuk pakatan tentera laut bagi mengawal laluan strategik tersebut yang menyalurkan hampir satu perlima bekalan minyak dunia.
Bagaimanapun, beberapa negara seperti Lithuania dan Estonia menyatakan sekutu NATO perlu sekurang-kurangnya meneliti permintaan Amerika Syarikat itu, namun menegaskan perlunya penjelasan lebih jelas mengenai strategi dan matlamat sebenar operasi tersebut. – MADANI NEWS
