Perhimpunan 'Turun Anwar' berlangsung aman di Dataran Merdeka, hujan tidak jadi halangan | Madani News

Perhimpunan ‘Turun Anwar’ berlangsung aman di Dataran Merdeka, hujan tidak jadi halangan

Perhimpunan ‘Turun Anwar’ berlangsung aman di Dataran Merdeka, hujan tidak jadi halangan
Gambar Astro Awani

PULUHAN ribu atau mungkin ratusan ribu peserta ‘Turun Anwar’ berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini bagi menyertai perhimpunan anjuran pembangkang sebagai mesej kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk turun kedudukan sebagai perdana menteri.

Perhimpunan aman itu bermula sekitar 3 petang dengan beberapa wakil pemimpin menyampaikan ucapan membakar semangat walaupun dalam keadaan hujan renyai yang turun tengah hari ini.

Seramai 18 pemimpin politik dan NGO dijadulakan berucap di pentas utama, antaranya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Penganjur menyasarkan kehadiran antara 300,000 hingga 500,000 dengan pihak polis hanya menganggarkan perhimpunan itu dihadiri oleh 10,000-15,000 sahaja sebelum ini.

Para peserta yang turun dari seluruh negara dan sampai pada awal pagi kelihatan menjadikan Masjid Negara, Pasar Seni, Sogo dan kawasan sekitar sebagai tempat berkumpul sebelum berarak beramai-ramai ke Dataran Merdeka yang menjadi lokasi utama perhimpunan.

Selain laungan menuntut Anwar berundur dan mengecam kepimpinannya, para peserta perhimpunan turut mendesak tindakan diambil terhadap bekas pembantu perdana menteri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berhubung dakwaan penglibatannya dalam skandal perlombongan di Sabah.

Lautan peserta berbaju hitam itu juga menyanyikan lagu yang melambangkan penolakan mereka terhadap ‘penipuan’ Anwar, serta lagu terkenal “Hoi hoi ya hoi” yang pernah digunakan oleh Anwar semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15.

Sebentara tadi, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan mengesahkan pentas perhimpunan pembangkang di Dataran Merdeka disita dan dibuka Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana dibuat tanpa kebenaran.

Mohamed Usuf Jan berkata mengikut perjanjian polis dengan penganjur, pentas ucapan hanya dibenarkan menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda bukan struktur.

Dari Masjid Negara, ribuan peserta – termasuk pemimpin Bersatu, berarak selepas solat Zohor – sambil membawa sepanduk dan plakad serta melaungkan slogan.

Sekatan jalan raya yang dipasang oleh polis sebelum ini telah dibuka untuk membenarkan orang ramai masuk kawasan itu.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengingatkan peserta himpunan pembangkang mematuhi garis panduan ditetapkan dan memastikannya berlangsung aman.

Pemuda PAS menerusi Facebooknya mendakwa ada arahan daripada pihak berkuasa supaya penganjur membuka pentas utama di Dataran Merdeka dan menyita barangan seperti kerusi yang telah diletakkan. Pentas itu sepatutnya digunakan pada perhimpunan 3 petang ini untuk menempatkan pemimpin seperti Dr Mahathir Mohamad, Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin.

Dari arah Sogo, lebih 3,000 orang termasuk pimpinan tertinggi PAS sedang bergerak ke Dataran, manakala kira-kira 1,000 orang pula tiba dari arah Pasar Seni.

Pasukan Jabatan Amal Malaysia dan Brigade Muslimat dari PAS ditempatkan bagi memastikan perjalanan perhimpunan pembangkang.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews