Tidak wajar desak Anwar letak jawatan, biarlah PM jalankan apa yang dirancang – Alexander

SEORANG Ahli Parlimen Sarawak menegaskan adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak melakukan desakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.
Ahli Parlimen Kapit yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tidak perlulah Anwar melepaskan jawatan dan tidak wajar minta beliau turun buat masa sekarang sebab sudah lebih dua tahun Kerajaan Madani memerintah.
‘’Biarlah beliau jalankan apa yang telah dirancang, penambahbaikan kepada apa yang telah kita guna pakai selama ini. Sudah ada ruang dan peluang untuk penambahbaikan, cara menguruskan kerajaan ataupun menguruskan negara.
”Yang sangat penting adalah menguruskan ekonomi serta memastikan rakyat hidup dengan sejahtera. Ini bukan mudah dengan ada cabaran-cabaran dari luar seperti baru-baru ini, tarif dari Amerika Syarikat. Kalau tidak diurus dengan baik, mungkin kita terkesan. Setakat ini kita masih boleh bersaing dengan negara-negara lain. Jadi bagi saya, kalau hanya berpolitik, biarlah letak tepi dulu,’’ katanya dalam program Interviu Sinar Harian.
Alexander berkata, beliau tidak menafikan bahawa tugas pembangkang adalah untuk melakukan semak imbang tetapi ia perlu atas batas dan prinsip.
‘’Jika politik terlalu tidak menentu dengan turun ke jalanan, bagi saya tidak perlu. Kita tidak mahu negara dilihat seolah-olah tidak selamat, tidak diurus dengan baik. Walaupun diakui ada banyak ruang dan peluang untuk diurus lebih terbaik, tetapi dalam keadaan kucar-kacir, kena buat peningkatan, penambahbaikan.
‘’Jagalah nama negara, sebab itu saya tidak setuju dengan mana-mana pihak yang pergi ke jalanan hingga ia boleh disalah tafsir orang luar. Mungkin belum tercapai semua reformasi atau rancangan birokratik yang dirancang tetapi ia bermula dengan tata kelola yang selalu disebutkan,’’ katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri perlu diberi ruang dan peluang untuk tadbir negara serta masa untuk membangunkan Malaysia dan semua pihak perlu membantu serta menyokong demi memulihkan negara dan rakyat.
Menjawab soalan berkaitan bagaimana beliau mengimbangkan antara tuntutan wilayah Sarawak dan Borneo dengan kolektif tanggungjawab bersama sebagai menteri Kabinet, Alexander berkata, iaa tidak jadi satu cabaran yang besar.
‘’ Memang Sarawak diterajui oleh gabungan parti GPS dengan slogan ‘Sarawak First’, tetapi tidak semestinya kita bercanggah dengan dasar atau strategi pembangunan negara di peringkat kerajaan Persekutuan. Kita putuskan dalam Kabinet supaya negara diterajui dengan baik, pelihara kesejahteraan rakyat dan ekonomi juga diurus dengan baik.
‘’Jadi apa-apa isu yang perlu dibincangkan, dibangkitkan dan diputuskan dalam Kabinet ataupun dalam kerajaan Sarawak, ada kepentingan yang terangkum di dalamnya. Sebab itu di Sarawak, pergolakan politik tidak kira siapa atau parti yang jadi kerajaan Persekutuan, kita sokong,’’ katanya.
Ditanya siapakah dari Sarawak yang layak menjadi Perdana Menteri, Alexander menyebut dua nama iaitu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.
‘’Bagi saya, Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri) sudah boleh jadi Perdana Menteri dan beliau layak. Lihat cara dia kerja, memiliki watak dan akhlak seorang pemimpin. Bukan mahu ambil alih, tetapi jika ada peluang Abang Johari juga bagi saya cukup layak,’’ katanya.