Semak kesahihan tawaran badal haji, ada pihak ambil upah untuk 200 orang serentak! - TH | Madani News

Semak kesahihan tawaran badal haji, ada pihak ambil upah untuk 200 orang serentak! – TH

Semak kesahihan tawaran badal haji, ada pihak ambil upah untuk 200 orang serentak! – TH
- Gambar hiasan BERNAMA

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengingatkan umat Islam di Malaysia supaya menyemak kesahihan sebarang tawaran perkhidmatan upah haji atau badal haji yang ditawarkan oleh individu atau agensi pelancongan, bagi mengelakkan penipuan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, setiap kali menjelang musim haji, akan ada pihak yang mengambil kesempatan mengiklankan pakej badal haji secara meluas — termasuk di surau, masjid dan media sosial — dengan harga yang tidak munasabah dan lebih rendah daripada kos sebenar yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan Arab Saudi menetapkan setiap individu luar negara perlu mendapatkan visa haji, manakala penduduk tempatan diwajibkan memiliki permit kebenaran. Harga terendah bagi pakej haji 1446H untuk penduduk tempatan bermula sekitar SR10,000 (RM11,300) dan tidak termasuk kos pengangkutan, penginapan serta makanan di Mekah dan Madinah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, dengan kos sebenar yang tinggi itu, adalah mustahil khidmat badal haji boleh dilakukan pada harga jauh lebih rendah seperti yang ditawarkan segelintir pihak. Malah, penduduk tempatan Arab Saudi sendiri hanya dibenarkan menunaikan haji sekali setiap lima tahun.

TH turut mendedahkan wujud unsur penipuan dalam pelaksanaan badal haji apabila ada pelaksana mengambil upah sehingga 200 orang bagi seorang pelaksana, yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Kerajaan Arab Saudi kini memperketat penguatkuasaan undang-undang, termasuk hukuman denda, penjara dan senarai hitam terhadap mereka yang menggunakan visa atau permit haji tidak sah.

“Justeru, rakyat Malaysia perlu berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran badal haji serendah RM1,500. Elakkan daripada mempercayai iklan komersial yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya,” kata Mustakim.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews