Jabatan Peguam Negara arah inkues dijalankan bagi menentukan punca kematian Zara Qairina

JABATAN Peguam Negara (AGC) memutuskan inkues dijalankan ke atas kematian Zara Qairina Mahathir, pada 16 Julau lalu.
Menurut jabatan tersebut, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti laporan siasatan yang telah dikemukakan polis, semalam.
“Prosiding inkues ini bertujuan menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, peguam kepada keluarga Zara Qairina, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri mendakwa wujud kepincangan dalam kertas siasatan kes itu yang diterima AGC.
Mereka membangkitkan pelbagai isu antaranya ketiadaan bedah siasat dan pakaian serta barang peribadi semasa ditemui tidak diambil polis untuk siasatan.
Hamid dan Shahlan juga berharap AGC dapat melaksanakan kuasa di bawah seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan majistret mengadakan inkues bagi menentukan sama ada wujud jenayah dalam kes itu.
Pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan arahan menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar Tingkatan Satu itu.
Sehari selepasnya, jenazah pelajar berkenaan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu bagi proses bedah siasat.
Awal hari ini, Kementerian Pendidikan arah ditempatkan sementara pengetua, penolong kanan hal ehwal murid, semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.
Katanya, keputusan itu dibuat susulan siasatan melibatkan kes kematian Zara Qairina diambil alih Bukit Aman melalui pasukan petugas khas.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai lalu, selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. Dia meninggal dunia di hospital keesokannya.