Serangan berlaku selepas perjumpaan sekumpulan pemberi maklumat – Rafizi

“Sebelum saya bertemu pemberi maklumat pada Rabu lalu, tiada apa-apa yang luar biasa berlaku. Tetapi selepas pertemuan itu… insiden ini meletup” – Rafizi
AHLI Parlimen Pandan, Rafizi Ramli percaya serangan mengejut terhadap anaknya minggu lalu bukan sekadar kebetulan, sebaliknya mungkin berpunca daripada pertemuan rahsianya bersama sekumpulan pemberi maklumat yang mendakwa memiliki dokumen panas berkait skandal melibatkan “seorang individu berprofil tinggi”.
Bagi bekas Menteri Ekonomi itu, amaran berbentuk kata-kata sudah biasa diterimanya. Namun kali ini, kata Rafizi, ancaman melangkaui batas — mensasarkan keluarganya sendiri, tepat ke arah isteri dan anaknya yang baru berusia 12 tahun.
“Pihak media pun tahu, saya agak lantang bersuara mengenai isu-isu tertentu dan individu tertentu dalam satu dua bulan kebelakangan ini. Apabila saya mula bersuara, akan ada pemberi maklumat yang tampil dan mereka akan kata ‘saya ada maklumat ini, saya ada maklumat itulah’.
“Sebelum saya bertemu pemberi maklumat pada Rabu lalu, tiada apa-apa yang luar biasa berlaku. Tetapi selepas pertemuan itu… insiden ini meletup,” katanya dalam sidang media di Parlimen, memetik laporan Malaysiakini.
Walaupun enggan menamakan individu yang dimaksudkan, Rafizi sejak kebelakangan ini lantang menggesa siasatan terhadap individu berprofil tinggi yang didakwa berkemungkinan terlibat dalam skandal perlombongan arang batu.
Dia juga berkata ingin meneliti punca yang mungkin mencetuskan insiden tersebut tetapi menyerahkan kepada pihak polis untuk menentukan sama ada wujud kaitan langsung.
“Pandangan saya motifnya ialah bersabit dengan kerja sayalah. It’s not any other motive.
“Kalau mesejnya ialah supaya diam dan jangan sentuh sesuatu perkara it’s natural to think, dalam semua perkara yang saya sentuh yang itulah yang mungkin saya ingat dan whistleblower yang datang jumpa saya pun ialah berkenaan perkara tersebutlah,” katanya.
Serangan ala ‘drama Korea’
Menurut Rafizi, serangan ke atas anaknya berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari di sebuah pusat beli-belah Putrajaya. Dua lelaki berpakaian serba hitam, menutup wajah dengan topi keledar penuh, didakwa mengekori isteri dan anaknya sebelum menarik mangsa dan menyuntikkan sesuatu menggunakan picagari.
Lebih mengerikan, kata Rafizi, isteri beliau menerima mesej ancaman pertama pada jam 1.12 pagi dan mesej kedua pada jam 11.02 pagi — seolah-olah perancangnya mahu memastikan mesej intimidasi itu benar-benar sampai.
“Kami baru berpindah rumah, hanya segelintir orang tahu alamatnya. Untuk suspek mengetahui pergerakan keluarga saya, saya percaya pemantauan telah dibuat sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari sebelumnya,” katanya.
Rafizi menegaskan beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menentukan sama ada wujud kaitan langsung antara serangan itu dan maklumat yang diterimanya daripada ‘whistleblowers’. Namun, baginya, motifnya terlalu jelas untuk diabaikan.
“Kalau mesejnya supaya saya diam, saya rasa mereka silap orang,” tegasnya.
Rakaman CCTV di lokasi kejadian kini berada dalam simpanan polis. Namun gambaran awal menunjukkan suspek bergerak “full gear, all black, dari kasut sampai visor”, satu gambaran yang disifatkan Rafizi sendiri “macam drama Korea”.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews