Pemimpin Bersatu diingatkan ambil ikhtibar krisis politik di Indonesia, jangan terlalu mengejar kedudukan | Madani News

Pemimpin Bersatu diingatkan ambil ikhtibar krisis politik di Indonesia, jangan terlalu mengejar kedudukan

Pemimpin Bersatu diingatkan ambil ikhtibar krisis politik di Indonesia, jangan terlalu mengejar kedudukan
Mohd Faisal Asmar

KETUA Bahagian Bersatu Pengerang, Mohd Faisal Asmar, mengingatkan kepimpinan politik negara agar mengambil iktibar daripada krisis politik di Indonesia, apabila rakyat bangkit memprotes pemimpin yang hanya mengejar kedudukan tanpa memahami kehendak akar umbi.

Beliau menegaskan, pemimpin Bersatu khususnya mesti mengutamakan rakyat berbanding cita-cita peribadi jika mahu parti terus dihormati.

“Apabila pemimpin hanya dilihat memperkukuh jawatan, akar umbi tidak akan teragak-agak untuk memprotes dan menolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelang Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Shah Alam pada 6-7 September, Faisal melahirkan kebimbangan terhadap cubaan pihak tertentu mengalihkan tumpuan parti kepada perebutan jawatan, termasuk cadangan menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

Beliau tidak menolak cadangan itu berasaskan niat baik, namun menegaskan masanya tidak sesuai kerana parti perlu memberi fokus kepada dasar dan kebajikan rakyat.

“Isu calon Perdana Menteri hanya wajar dijawab Perikatan Nasional apabila PRU16 hampir tiba, bukan sekarang. Jika diteruskan, ia hanya memberi gambaran pimpinan sudah terpisah daripada agenda rakyat,” ujarnya.

Faisal turut mengingatkan bahawa ketua bahagian adalah tonggak utama yang banyak berkorban demi kelangsungan parti dan tidak wajar dipinggirkan.

Katanya, kegagalan memahami sentimen akar umbi hanya akan mengundang risiko Bersatu ditolak rakyat, sama seperti yang berlaku di Indonesia. – MADANI NEWS