Hannah: Tunggu keputusan Fifa sebelum buat penambahbaikan terhadap FAM

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan sebarang cadangan penambahbaikan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya akan dibuat selepas keputusan rayuan penggantungan tujuh pemain Harimau Malaya oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) diumumkan.
“Kita tunggu selesai rayuan, selepas keputusan Fifa barulah kita mulakan apa-apa kerja penambahbaikan yang diperlukan,” katanya selepas menghadiri projek penggantian paip di Taman Bukit Maluri, hari ini.
Ditanya mengenai kemungkinan kementeriannya menawarkan bantuan perundangan kepada FAM, Hannah berkata perkara itu tidak perlu kerana FAM sudah mempunyai pasukan guaman sendiri.
“FAM adalah salah satu persatuan sukan kebangsaan terbesar di Malaysia dan mereka memang ada peguam serta penasihat perundangan sendiri sejak dulu. Setakat ini mereka tidak menghubungi KBS untuk sebarang bantuan,” jelasnya.
Minggu lalu, Jawatankuasa Tatatertib Fifa mengenakan denda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) terhadap FAM selepas didapati bersalah melanggar Artikel 22 berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain Harimau Malaya turut digantung selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta dan dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM11,000) setiap seorang.
Mereka ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano, yang beraksi ketika perlawanan Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun lalu dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman sebelum ini memaklumkan pihaknya sedang menunggu penghakiman penuh Fifa sebelum mengemukakan rayuan, selain menjelaskan kesilapan teknikal berlaku dalam proses penyerahan dokumen pemain warisan berkenaan. – MADANI NEWS