Guru perlu guna AI dalam pengajaran, UPSR wajar dikembalikan – Mahdzir

BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpendapat sistem pendidikan negara kini berada pada landasan yang baik, namun kaedah pengajaran guru perlu dipertingkatkan agar selaras dengan perkembangan teknologi semasa, khususnya penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam bidang pendidikan.
“Ketika saya menjadi Menteri Pendidikan dahulu, kita telah meletakkan asas kukuh dalam sistem pendidikan negara. Namun dengan adanya AI, kaedah dan pendekatan pengajaran guru perlu disesuaikan agar lebih relevan dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Program Rundingan Meja Bulat Pendidikan Nasional 1.0 (RIMBUN 1.0) 2025: Reformasi Sistem Pendidikan Dalam Era AI dan Pemerkasaan Institusi Guru, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Mahdzir turut menyokong cadangan agar peperiksaan peringkat nasional seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikembalikan bagi memastikan mutu dan kecemerlangan pelajar terus terjamin.
Katanya, walaupun Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dan kokurikulum mempunyai nilai tersendiri, negara wajar mengekalkan sekurang-kurangnya satu peperiksaan di peringkat nasional antara Tahun Satu hingga Tingkatan Empat untuk menilai prestasi menyeluruh pelajar.
“Penilaian sekolah dan kokurikulum memang penting, tetapi saya percaya perlu ada sekurang-kurangnya satu peperiksaan di peringkat nasional untuk menilai prestasi keseluruhan pelajar,” ujarnya.
Program RIMBUN 1.0 anjuran Pemuda UMNO itu turut menampilkan bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, serta Ketua Pemuda UMNO Bahagian Machang yang juga bekas guru, Datuk Mohd Sharizal Semsuddin, sebagai ahli panel. – MADANI NEWS
