Fadlun dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu
PUTRAJAYA – Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa Sabtu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
“Saya yakin dengan pelantikan ini, beliau akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat.
“Kepimpinan beliau diharapkan dapat memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Fadlun, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.
Dalam tempoh menyandang jawatan Presiden PPj sejak 2022, Fadlun telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dalam memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusiviti dan kelestarian.
Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia.
Penglibatan aktif beliau dalam pelbagai forum dan jaringan profesional antarabangsa memperkukuh peranan beliau sebagai tokoh perancang bandar yang berwawasan dan berpandangan jauh.
Dalam pada itu, Dr Zaliha turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang telah banyak memperluas reputasi Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa.
“Saya juga mengucapkan tahniah atas pelantikan terkini beliau sebagai Penasihat Hartanah Petronas dan percaya pengalaman luas beliau akan terus dimanfaatkan dalam menerajui agenda pembangunan strategik negara,” katanya.
