Hajiji jadi KM Sabah: GRS bentuk Kerajaan Sabah dengan rakan parti, ADUN bebas
SELEPAS beberapa jam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 melabuhkan tirainya, Datuk Seri Hajiji Noor kembali menerajui pentadbiran negeri itu selepas secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, bagi penggal kedua.
Hajiji, 70, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu di Kota Kinabalu kira-kira 3 pagi.
Lantikan Hajiji itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan GRS sebagai gabungan terbesar pada pilihan raya kali ini dengan memperoleh 29 daripada 73 kerusi DUN.
GRS bersama rakan parti serta calon Bebas yang menang pada PRN Sabah ke-17 semalam berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.
Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor telah mengangkat sumpah awal pagi tadi, disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyatakan sokongan untuk membentuk kerajaan negeri.
“Insya-Allah, GRS bersama rakan-rakan parti serta semua ADUN Bebas, yang sebelum ini berada dalam GRS sama ada sebagai ADUN atau pimpinan parti sebelum pembubaran, akan segera bergerak menunaikan amanah penduduk Sabah,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Pada PRN ke-17, GRS memenangi 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri, diikuti Parti Warisan (25), Barisan Nasional (6), Bebas (5), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (3), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (2), manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing meraih satu kerusi.
Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri Sabah memperoleh 37 daripada 73 kerusi DUN – MADANI NEWS
