FELDA, FGV komited selesaikan isu ladang Terengganu mengikut undang-undang
LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad (FGV) menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu berkaitan notis amaran pendudukan tidak sah di beberapa ladang mereka di Terengganu melalui proses undang-undang yang sah.
Dalam satu kenyataan, FELDA dan FGV mengambil maklum notis-notis amaran yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Terengganu pada 30 November hingga 2 Disember terhadap ladang di Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman. Namun, tempoh tiga hari yang diberikan untuk mengosongkan atau merobohkan struktur serta memusnahkan tanaman dianggap terlalu singkat dan menekan bagi operasi perladangan berskala besar.
FELDA menegaskan ia mempunyai asas kukuh di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dan Akta Pembangunan Tanah 1956, yang memberi mandat jelas untuk membangunkan kawasan penempatan berkelompok.
Buat masa ini, FELDA dan FGV sedang menjalankan audit tanah menyeluruh termasuk semakan sejarah lot, rekod pembayaran, premium tanah, status hak milik dan syarat pembangunan. Semakan dilakukan melalui verifikasi silang dengan data kerajaan negeri bagi memastikan ketepatan semua dokumen sebelum tindakan seterusnya diambil.
Menurut kenyataan itu, pembangunan ladang komersial FELDA dan FGV di Terengganu selama ini menjadi sumber pendapatan penting untuk komuniti setempat, menyediakan peluang pekerjaan dan menyokong rantaian ekonomi negeri melalui operasi bersepadu pengeluaran dan pemprosesan sawit.
FELDA dan FGV mengakui wujud spekulasi mengenai isu tersebut, namun menegaskan segala tindakan akan dibuat secara profesional mengikut prosedur perundangan bagi memastikan ketelusan, keadilan dan perlindungan terhadap kepentingan peneroka serta 1,283 pekerja yang bergantung kepada ladang berkenaan.
Kedua-dua entiti itu turut menegaskan bahawa notis amaran kerajaan negeri tidak menjejaskan operasi ladang peneroka, dan komuniti peneroka boleh meneruskan aktiviti seperti biasa. Bagaimanapun, notis tersebut memberi implikasi kepada operasi komersial jangka panjang FELDA dan FGV serta berpotensi menjejaskan hasil perladangan yang menyumbang kepada pendapatan negara.
FELDA dan FGV kekal optimis bahawa penyelesaian terbaik dapat dicapai melalui proses undang-undang serta kerjasama semua pihak berkaitan, sambil menegaskan komitmen untuk memelihara hak peneroka, pekerja dan kelangsungan industri perladangan negara. – MADANI NEWS
