Amelia juara Royal Perak Amateur Open Ke-67, bukti keunggulan program NJDP MGA
KUALA LUMPUR — Kecemerlangan pemain muda, Amelia, menjuarai Royal Perak Amateur Open Ke-67 sekali gus mengukuhkan reputasi Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (National Junior Development Programme — NJDP) di bawah Persatuan Golf Malaysia (MGA) sebagai platform melahirkan bakat golf elit negara.
Amelia mempamerkan permainan konsisten sepanjang tiga hari kejohanan dengan catatan 70, 70 dan 74 pukulan, untuk jumlah keseluruhan dua di bawah par. Prestasi itu mencerminkan ketenangan, kematangan taktikal serta peningkatan kualiti permainan yang menjadikan beliau antara pemain junior paling konsisten ketika ini.
Dominasi NJDP turut terserlah apabila seorang lagi pemain program sama, Siti Nur Husna Aina Karim, menamatkan saingan di tempat kedua. Kehadiran dua pemain NJDP di kedudukan teratas membuktikan bahawa barisan pemain muda program itu sudah bersedia bersaing pada peringkat lebih tinggi, sekali gus menyerlahkan keberkesanan pendekatan latihan komprehensif yang dilaksanakan.
Amelia pada asalnya merupakan pemain junior kurang dikenali dan hanya menyertai kejohanan di sekitar Melaka, namun menyertai skuad elit NJDP telah mengubah sepenuhnya perkembangan kariernya. Di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman dan sokongan sistematik NJDP, beliau berkembang daripada bakat yang tidak menonjol kepada juara peringkat nasional.
Committee NJDP 2025 menyifatkan kejayaan Amelia dan Siti Nur Husna Aina sebagai penutup tirai tahun yang amat membanggakan, selaras dengan matlamat program untuk melahirkan generasi pemain golf bertaraf tinggi bagi mengangkat prestasi Malaysia di pentas antarabangsa. – MADANI NEWS
