Pemandu e-hailing wanita 60 tahun cedera parah diserang lelaki di parkir Salak Tinggi
SEORANG pemandu e-hailing wanita berusia 60 tahun cedera parah selepas diserang seorang lelaki di kawasan parkir Bandar Baru Salak Tinggi, malam tadi, dalam kejadian yang menggemparkan penduduk setempat.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 9.40 malam.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan serius pada leher serta luka kelar di lengan kiri dipercayai akibat diserang menggunakan senjata tajam oleh suspek yang dikenalinya.
“Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Cyberjaya untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhizam berkata, suspek merupakan lelaki tempatan berusia 69 tahun yang melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki kereta Perodua Bezza milik mangsa.
Bagaimanapun, kira-kira jam 11.15 malam, suspek berjaya dikesan selepas terlibat dalam kemalangan di Taman Desa Melati, Fasa 3, Nilai.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek berada dalam keadaan cedera dan polis turut menemukan sebilah pisau jenis kerambit di dalam kenderaan berkenaan,” katanya.
Suspek kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Cyberjaya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sehingga 20 tahun jika kecederaan mangsa kekal. – MADANI NEWS
