Zii Jia kena smash lagi, tidak pernah menang dengan Gemke
KUALA LUMPUR: Hasrat perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk bangkit di Terbuka India tidak kesampaian apabila tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Denmark, Rasmus Gemke, sebentar tadi.
Zii Jia yang kembali menyertai kejohanan kompetitif bermula di Terbuka Malaysia dengan tewas di pusingan pertama minggu lalu, memulakan perlawanan dengan langkah kurang meyakinkan apabila akur tewas 13-21 pada set pertama hari ini.
Bagaimanapun, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu bangkit memperkemaskan permainan pada set kedua di Kompleks Sukan Indira Gandhi dengan aksi lebih agresif, sebelum mencatat kemenangan 21-18 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pertarungan set ketiga menyaksikan kedua-dua pemain saling bertukar mata dalam aksi sengit namun Gemke yang berada di ranking ke-27 dunia kekal tenang untuk menoktahkan kemenangan 21-18, sekali gus menyingkirkan Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-144 dunia.
Kekalahan itu menyaksikan Zii Jia masih gagal menamatkan kemarau kemenangan ke atas Gemke selepas tewas dalam kelima-lima pertemuan mereka setakat ini.
Pada penampilan di Terbuka Malaysia minggu lalu, Zii Jia turut tersingkir di pusingan pertama selepas tewas kepada pemain India, Ayush Shetty 12-21, 17-21 dalam tempoh 39 minit. – MADANI NEWS
