Pearly-Thinaah, Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir Terbuka India
BEREGU wanita negara, Pearly Tan–M. Thinaah, meneruskan cabaran Malaysia di Terbuka India 2026 selepas mencatat kemenangan meyakinkan ke atas wakil Taiwan pada aksi suku akhir di New Delhi hari ini.
Pasangan pilihan kedua kejohanan itu menundukkan gandingan Hsieh Pei Shan–Hung En Tzu dengan keputusan straight set 21-16, 21-10 dalam perlawanan yang berlangsung selama 33 minit di Kompleks Sukan Indira Gandhi.
Kemenangan tersebut melayakkan Pearly-Thinaah ke separuh akhir, di mana mereka dijadualkan berdepan pasangan Jepun Yuki Fukushima–Mayu Matsumoto pada aksi esok.
Sementara itu, beregu lelaki negara Aaron Chia–Soh Wooi Yik turut mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Taiwan Lee Jhe-Huei–Yang Po Hsuan 21-19, 21-14.
Pasangan nombor dua dunia itu dijangka bertemu sama ada satu lagi wakil Taiwan, Liu Kuang Heng–Yang Po Han, atau gandingan Jepun Hiroki Midorikawa–Kyohei Yamashita pada perlawanan separuh akhir.
Namun, cabaran Malaysia dalam kategori beregu campuran terhenti apabila Goh Soon Huat–Lai Shevon Jemie tewas tipis kepada pasangan pilihan utama kejohanan dari China, Feng Yan Zhe–Huang Dong Ping, 19-21, 21-19, 18-21.
— BERNAMA
