Nafkah tertunggak hampir RM1 juta, mahkamah luluskan pelaksanaan tuntutan Raja Azura
SHAH ALAM: Pelakon dan pengacara terkenal, Raja Azura, bakal menuntut nafkah tertunggak bagi tiga orang anaknya daripada bekas suami, Adzmin Osman, yang dianggarkan hampir mencecah RM1 juta selepas didakwa gagal menunaikan tanggungjawab itu sejak 15 tahun lalu.
Peguam Syarie yang mewakili Raja Azura, Mohammad Amirul Hanizan, berkata jumlah sebenar tunggakan masih dalam proses pengiraan terperinci kerana melibatkan pelbagai komponen nafkah.
“Ketika hakim bertanya anggaran kasar tunggakan nafkah anak dan nafkah idah yang gagal dibayar, saya maklumkan sekitar RM600,000. Namun angka itu belum termasuk yuran persekolahan, perbelanjaan hari raya serta keperluan lain.
“Jika dikira secara menyeluruh, jumlah tuntutan boleh mencecah hampir RM1 juta, namun pengiraan semula masih perlu dibuat,” katanya memetik laporan mStar.
Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam meluluskan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman nafkah yang difailkan Raja Azura terhadap Adzmin.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Tuan Salehan Yatim, selepas berpuas hati dengan keterangan serta penjelasan yang dikemukakan sepanjang prosiding berlangsung.
Menurut Mohammad Amirul, permohonan tersebut membabitkan pelaksanaan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 2010 berkaitan nafkah anak dan nafkah idah, yang didakwa masih gagal dilaksanakan sehingga kini.
Mengulas tindakan Raja Azura yang hanya membuat permohonan selepas tempoh lama berpisah, beliau berkata keputusan itu dibuat demi menjaga kebajikan dan emosi anak-anak.
“Anak-anak ketika itu masih kecil dan sedang membesar. Raja Azura tidak mahu mereka terkesan dengan proses mahkamah.
“Selain itu, beliau juga mahu menjaga nama baik kedua-dua pihak dan merasakan masih mampu menguruskan anak-anak walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran,” katanya.
Untuk rekod, Raja Azura dan Adzmin, anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada 2001 sebelum bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 24; Megat Luqman Hakim Adzmin, 23; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 21.
