Anwar arah Selangor batalkan projek ternakan babi di Bukit Tagar, cari lokasi lain
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan Selangor membatalkan projek ladang ternakan babi di Bukit Tagar dan mempertimbangkan lokasi lain lebih sesuai.
Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi selepas mengambil kira keresahan penduduk setempat.
“Isu ini melibatkan aspek persekitaran serta kebimbangan masyarakat setempat dan perlu diberi perhatian serius. Saya akan berbincang dengan menteri besar Selangor.
“Kita minta supaya projek ini dibatalkan sekiranya boleh, atau dipindahkan ke kawasan lebih sesuai dengan syarat penggunaan teknologi yang terjamin,” katanya ditemui selepas solat Jumaat di Surau Al-Amin, Bandar Baru Bangi.
Pada 10 Jan lalu, dilaporkan Sultan Selangor tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri yang melibatkan penternakan babi secara berskala besar.
Sultan Sharafuddin Idris Shah akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal demi memenuhi keperluan rakyat bukan Islam, namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti masyarakat yang majoritinya beragama Islam.
Terdahulu, kerajaan Selangor memutuskan untuk melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor, bagi memastikan industri ternakan babi diurus secara lebih bersih, tersusun dan moden, selain tidak menjejaskan alam sekitar serta keharmonian masyarakat setempat.
Sementara projek di Bukit Tagar disiapkan, kerajaan negeri membenarkan penternak sedia ada di 112 ladang di Tanjong Sepat, Kuala Langat, ketika ini terus beroperasi di lokasi masing-masing untuk tempoh tiga tahun sebelum dipindahkan, serta diwajibkan menaik taraf sistem kumbahan dalam tempoh tahun pertama fasa peralihan bagi menangani isu pencemaran bau dan air. – MADANI NEWS
