Keputusan CAS beri nafas baharu untuk 7 pemain warisan Harimau Malaya
AKHIRNYA berita positif yang ditunggu-tunggu oleh penyokong bola sepak tanah air muncul apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memutuskan untuk mengangguh sementara hukuman gantung tujuh pemain warisan Harimau Malaya oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Walaupun ia bukannya keputusan akhir kerana penangguhan itu hanyalah sementara CAS membuat siasatan dan memberikan keputusan akhir hasil daripada siasatanya berhubung dakwaan pemain-pemain tersebut mengemukakan dokumen palsu.
Keputusan CAS itu bermaksud penggantungan 12 bulan yang dikenakan FIFA ditangguhkan sementara, bukan dibatalkan. Dari sudut undang-undang sukan, ini adalah kemenangan awal yang penting buat FAM dan pemain terlibat, kerana ia mengelakkan kerosakan kerjaya serta implikasi kewangan dan psikologi yang besar.
Namun, keputusan ini bersifat interim. Nasib tujuh pemain tersebut masih bergantung sepenuhnya kepada keputusan muktamad CAS, yang boleh sama ada mengesahkan atau membatalkan tindakan FIFA.
Harimau Malaya telah mengharungi beberapa perlawanan tanpa sentuhan tujuh pemain warisan negara yang mengalami penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menerusi satu kenyataan media pada Isnin, 26 Januari 2025, FAM yang sebelum ini telah memutuskan untuk membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah mendapat suntikan baharu dengan khabar positif itu.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport – CAS) telah membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan oleh tujuh pemain pasukan kebangsaan iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.
“7 pemain ini dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat,” ujar kenyataan FAM.
Kelab LaLiga, Deportivo Alaves misalnya antara yang terawal mengumumkan kepulangan bek tengah negara, Facundo Garces ke pasukan itu berikutan keputusan CAS tersebut.
Perkara ini diumumkan pengurusan kelab itu menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.
“Deportivo Alaves mengumumkan bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah membenarkan permohonan Facundo Garces untuk penggantungan sementara dalam prosiding rayuan terhadap sekatan yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 25 September 2025 dan dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November 2025.
“Akibatnya dan seperti yang dinyatakan dalam keputusan CAS, “penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak digantung sementara.”
“Walaupun langkah sementara ini masih berkuat kuasa, Facundo Garcés boleh meneruskan aktiviti profesionalnya seperti biasa tanpa menjejaskan keputusan muktamad yang boleh dibuat CAS berdasarkan merit kes itu. Oleh itu, pemain akan menyertai semula pasukan,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pemain-pemain lain juga dijangka bakal kembali beraksi bersama kelab masing-masing sehingga keputusan akhir dibuat. – MADANI NEWS
