Video polis pijak kepala: Menteri arah siasatan segera, ambil tindakan jika terbukti salah laku
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat penilaian terburu-buru berhubung satu rakaman video yang memaparkan tindakan agresif seorang anggota polis memijak seorang lelaki di hadapan kedai aksesori motosikal di Kulim, Kedah yang tular di media sosial.
Menjawab isu itu, katanya, dia telah menghubungi Ketua Polis Kedah bagi memastikan siasatan disegerakan, termasuk meneliti jika tindakan anggota terbabit mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan atau satu pelanggaran integriti yang nyata.
“Sebarang tindakan penguatkuasaan oleh pegawai polis tertakluk kepada SOP yang sedia ada dan difahami semua anggota.
“Saya sudah menghubungi Ketua Polis Kedah untuk menyegerakan siasatan, termasuk menyemak sama ada terdapat kepatuhan terhadap tatacara penguatkuasaan, ” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan Sebuah Multi Purpose Mission Ship (MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Putrajaya, hari ini.
Saifuddin mengulas rakaman video tular di media sosial berdurasi 29 saat memaparkan kejadian membabitkan anggota polis dan seorang suspek, memetik laporan Malaysiakini.
Dalam rakaman itu, lelaki tersebut dilihat ditarik sehingga terjatuh motosikal sebelum kepalanya dipijak oleh anggota berkenaan.
Saifuddin berkata, sekiranya bukti menunjukkan berlaku salah laku, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan mengambil alih kes untuk tindakan tatatertib.
Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa tindakan tidak wajar dibuat secara terburu-buru hanya berdasarkan rakaman video singkat itu kerana ia mungkin tidak menceritakan gambaran penuh.
“Kita tidak boleh membuat tindakan seberono yang boleh merentap semangat anggota polis ketika menjalankan tugas penguatkuasaan.
“Kita hanya melihat beberapa saat insiden dirakam, tetapi perlu juga diteliti apa yang berlaku sebelum itu,” katanya.
Saufuddin berkata, siasatan perlu mengambil kira kemungkinan suspek bertindak agresif, termasuk sama ada melawan anggota, menunggang motosikal secara berbahaya atau melanggar kenderaan polis.
“Biar polis siasat dahulu. Jangan kita hukum hanya kerana melihat video beberapa saat. Ada perkara yang berlaku sebelum insiden itu dirakam dan disebarkan,” katanya.
Tegas Saifuddun, pendekatan seimbang perlu diambil bagi memastikan akauntabiliti tanpa menjejaskan moral anggota polis.
“Kita tidak boleh bertindak melulu kerana ia boleh menjejaskan semangat anggota yang menjalankan tugas penguatkuasaan, terutama apabila berdepan suspek yang berpotensi agresif,” katanya lagi. – AGENSI
